Thursday, January 13, 2011

Perbezaan Rahmat, Perpecahan Azab

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
"Ikhtilaf" atau berbeza pendapat dalam berbagai masalah agama adalah sesuatu yang wajar bahkan dalam keadaan tertentu menjadi suatu kemestian.
Ini adalah kerana manusia memang diciptakan berbeza-beza bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa beberapa "perbezaan" itu memang dimaksudkan atau diinginkan oleh Pembuat Syariat iaitu Allah swt.
Jika Allah swt berkehendak untuk menurunkan Al-Qur’an dengan hanya memiliki satu interpretasi sahaja, maka perkara itu tidak sukar bagiNya. Begitu juga dengan Sunnah Rasulullah saw. Bahkan telah masyhur di kalangan ulama’ bahwa perbezaan dalam umat ini adalah rahmat.
Seorang ulama’ pernah menulis sebuah kitab dengan judul "Kitabul Ikhtilaf" (kitab perbezaan pendapat).
Ketika ia menunjukkan kitab itu kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, beliau berkata :
"Jangan namakan kitab perbezaan pendapat, tapi namakan ia kitab keluasan."
Adalah sesuatu yang mustahil untuk menyatukan seluruh manusia dalam satu pandangan atau pemikiran tertentu kerana masing-masing mereka dianugerahkan oleh Allah swt perbezaan dalam:
1.    Pandangan.
2.    Ilmu.
3.    Tujuan.
4.    Keperluan.
5.    Situasi.
6.    Keadaan lingkungan.
yang sangat berpengaruh terhadap paradigma dan cara mereka berfikir.
Ini memang suatu kenyataan apabila kita melihat keadaan umat Islam di berbagai negara yang memang berlatarbelakangkan suku, adat istiadat dan bahasa yang berbeza-beza, ditambah pula dengan wujudnya kelompok-kelompok Islam yang berbagai ragam.
Sayangnya, kelompok-kelompok Islam tersebut sangat sukar untuk bersatu dan sangat suka berpecah belah hanya kerana perbezaan dalam perkara-perkara yang bukan termasuk  “Tsawabit”  agama (ajaran yang mempunyai sifat atau unsur yang tetap dan tidak berubah).
Padahal perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah menjadi alasan untuk bersengketa atau berpecah-belah.
Allah swt tidak melarang berbeza pendapat sejak dari awal lagi tetapi melarang berpecah-belah gara-gara perbezaan pendapat tersebut.
Ulama’-ulama’ terdahulu sejak zaman sahabat, mereka berbeza dalam beberapa masalah namun mereka tetap terikat oleh tali Ukhuwah Islamiyah.
Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak ditangani dengan benar, kadang-kadang boleh menyebabkan muslim sesama sendiri :
  1. Saling mencela.
  2. Saling menyesatkan.
  3. Mungkin saling mengkafirkan.
Kita sering lupa bahwa kehormatan kaum muslimin adalah perkara yang amat dimuliakan di dalam Islam bahkan ia merupakan salah satu ‘maqashid’ (tujuan) agama ini iaitu memelihara kehormatan.
Ketika haji Wada`, Rasulullah saw bersabda :
"Sesunguhnya jiwa kamu, harta kamu dan kehormatan kamu haram (dinodai dan diganggu) seperti haramnya kehormatan hari ini, bulan ini dan tempat ini."
Namun gara-gara perbezaan yang sifatnya ‘ijtihadiyah’, kaum muslimin saling mencela dan menodai kehormatan sesama mereka.
Kita lupa pesanan Allah swt yang memerintahkan untuk berpegang teguh pada tali Allah dan melarang kita berpecah belah.
Allah swt berfirman :
"Dan berpegang teguhlah kamu pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah...." (QS Ali Imran : 103)
DI MANAKAH KITA MESTI SEKATA DAN DI MANA BOLEH BERBEZA?
Memang benar bahwa perbezaan mesti ditangani dengan sikap toleransi yang tinggi tetapi perbezaan yang dibenarkan adalah perbezaan yang memang boleh ditoleransi.
Untuk mengetahui samada sebuah perbezaan boleh ditoleransi atau tidak, perlu ada kejelasan terhadap kedudukan di mana letaknya umat Islam mesti bersatu dan di mana letaknya mereka boleh berbeza.
Ada dua wilayah perbezaan yang boleh kita teliti :
PERTAMA : Berbeza pada wilayah yang prinsip atau pokok-pokok agama yang merupakan asas-asas  dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` umat.
Contohnya seperti :
1.    Masalah tauhid.
2.    Rukun iman.
3.    Kewajiban melaksanakan rukun Islam yang lima.
4.    Keyakinan tentang hari kebangkitan.
5.    Hari Akhirat.
Dalam hal ini, tidak boleh ada perbezaan di dalam tubuh Umat Islam kerana perbezaan dalam perkara ini akan menimbulkan perbezaan prinsip dan keyakinan yang mengakibatkan keluarnya seseorang dari jalan Islam.
Jika ada orang yang berkeyakinan bahwa rukun Islam yang lima tidak wajib dilaksanakan atau meyakini bahwa hari Akhirat itu tidak ada, keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadits tentang hari Akhirat, padang Mahsyar, syurga dan neraka, tidak lain hanyalah kiasan dan tidak dimaksudkan dengan makna hakiki dari lafaz itu, seperti yang diyakini oleh kumpulan-kumpulan sesat seperti Batiniyah, Babiyah dan Bahai’yah, maka keyakinan seperti itu telah jauh terkeluar dari Islam.
Demikian juga dengan orang yang berkeyakinan bahwa ada nabi setelah Nabi Muhammad saw, yang membawa kitab suci baru, seperti keyakinan pengikut Ahmadiyah, maka keyakinan seperti itu juga dapat menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam kerana keyakinan-keyakinan itu bukanlah perbezaan pada perkara furu`atau ranting bahkan ia jelas bertentangan secara langsung dengan asas-asas agama yang sifatnya ‘fundamental’ tersebut.
Bagi menangani perbezaan seperti di atas, setiap muslim mesti menampakkan identiti keyakinan dan keimanan mereka di mana mereka mesti tegas dengan mengatakan :
“ Mazhab kami benar, tidak mengandungi kesalahan sama sekali dan mazhab yang lain salah dan tidak mengandungi kebenaran sama sekali."
KEDUA : Perbezaan dalam masalah furu`atau ranting di mana perbezaan dalam perkara ini adalah wajar dan masing-masing mengikut pendapat yang seharusnya saling bertoleransi.
Namun, perbezaan dalam wilayah yang kedua ini tidak boleh membawa umat kepada perpecahan kerana perbezaan yang timbul dalam hal ini boleh jadi sekadar perbezaan ‘variatif’ yang semuanya benar dan saling melengkapi. Bahkan dalam perbezaan kontradiktif sekalipun, selagi mana masih dalam wilayah furu' dan ijtihadiyah dan masing-masing memiliki perbahasan yang cukup kuat, maka para penganut mazhab mesti tetap saling menghormati dan mencintai.
Dalam hal ini mereka seharusnya berkata seperti perkataan Imam Asy-Syafi`ie :
“Pendapatku benar tetapi boleh jadi mengandungi kesalahan dan pendapat selainku salah tetapi boleh jadi mengandungi kebenaran.”
Berbeza pendapat adalah perkara yang diperbolehkan, namun perpecahan kerananya tetap tidak diperbolehkan. Ini adalah kerana perpecahan jelas merupakan perkara yang dilarang oleh agama.
Sebagai contoh, perbezaan-perbezaan manhaj atau metod dakwah yang digunakan oleh  kelompok Islam masing-masing seringkali menjadi penyebab kepada perpecahan di antara mereka padahal mereka tidak berbeza pada asas-asas ‘fundamental’ dan pokok-pokok ajaran yang bersumber dari Al-Quran, Sunnah dan Ijma` Umat.
Mereka seharusnya berusaha untuk saling mendekati kerana perbezaan mereka hanya sebatas perbezaan dalam metod berdakwah yang sifatnya ijtihadi.
Ada sebahagian kelompok umat :
1.    Yang berdakwah dengan amar makruf nahi mungkar.
2.    Yang berdakwah dengan memurnikan ajaran tauhid.
3.    Yang berjihad secara langsung melawan musuh-musuh Islam.
4.    Yang berjuang dengan mengajar dan memberi pencerahan kepada umat.
5.    Yang berjihad dengan lisan dan tulisan.
6.    Yang berjihad dengan menuntut ilmu.
7.    Yang berjihad dengan hartanya.
Semuanya pada hakikatnya saling melengkapi kerana tidak mungkin satu kelompok dapat menjaga semua pos yang berusaha dijaga oleh kelompok lain.
Ukhuwah terlalu besar untuk dirosak dan dimusnahkan oleh masalah khilafiah dan ijtihadiyah.
Ukhuwah adalah perkara yang wajib dijaga sedangkan perpecahan terang-terang diharamkan oleh agama.
Lantas apakah kita akan meninggalkan perkara yang wajib lalu mengerjakan yang diharamkan?
Setiap mujtahid mendapat pahala ijtihadnya kerana mereka berijtihad untuk menggali suatu hukum, tidak semata-mata untuk mengikuti hawa nafsu belaka tetapi hanya untuk mencari kebenaran. Kemudian, setiap orang yang mengikuti pendapat salah satu imam mazhab, semuanya bermaksud untuk mentaati Allah swt dan mengikuti Rasulullah saw. Mereka juga hanya diwajibkan untuk beramal dengan hasil yang dicapai oleh ijtihad mereka.
Contoh tauladan kita adalah generasi awal umat ini yang dibina secara langsung oleh Rasulullah saw. Sebahagian mereka ada yang berbeza pendapat dalam masalah-masalah fiqh, namun hati mereka tetap satu, tidak saling berpecah atau membenci.
PERBINCANGAN DALAM BINGKAI UKHUWAH
Kemestian berbeza pendapat tidaklah mencegah umat Islam untuk mengadakan perbincangan ilmiah dalam berbagai masalah yang mereka perdebatkan. Perkara ini justeru sangat positif kerana dapat mengurangkan sikap fanatik terhadap mazhab atau golongan tertentu.
Dengan kajian yang mendalam terhadap dalil dan analisa ketepatannya, kita mampu membuat perbandingan antara banyak pendapat dan sebagainya, maka setidak-tidaknya kita akan sampai kepada pendapat yang benar atau secara minimanya kepada pendapat yang paling kuat.
Yang paling penting dalam perbincangan ini adalah :
1.    Keikhlasan untuk mencari kebenaran.
2.    Tidak ada kecenderungan atau kepentingan apapun selain dari di atas.
3.    Mesti berdasarkan kaedah saling nasiat-menasihati dan musyawarah.
4.    Tetap berada di bawah payung ukhuwah serta rasa saling mencintai.
Kalaupun berlaku perdebatan, ia bukanlah debat untuk memenangkan kepentingan peribadi atau golongan kerana perdebatan seperti itu boleh membutakan hati sehingga kita tidak dapat melihat kebenaran.
Perdebatan ini tidak akan membuahkan hasil apalagi menyelesaikan masalah, bahkan akan menjadi masalah itu sendiri dan merumitkan masalah yang telah ada.
Ketika perbincangan ilmiah telah sampai kepada sebuah pendapat yang terang kebenarannya, maka semua umat mesti bersatu dalam perkara itu.
Ini adalah kerana Allah swt tidak sekadar melarang berpecah-belah, tetapi juga melarang untuk tetap berselisih pendapat sesudah datangnya keterangan dan perbahasan yang jelas atas pendapat yang benar.
Allah swt berfirman :
"Dan janganlah kamu seperti orang yang berpecah-belah dan berselisih, padahal sudah datang kepada mereka keterangan yang nyata." (QS Ali Imran : 105)
Jadi, perbezaan pendapat sebenarnya hanya boleh dalam perkara-perkara ijtihadiyah yang memang belum ada dalil tegas yang menyelesaikan perbezaan yang ada dan kewajiban kaum muslimin ketika itu adalah tetap toleransi dan saling mencintai.
Namun jika dalil telah jelas dan tegas, maka dalam hal ini Allah melarang kita untuk berbeza kerana tidak ada ijtihad dalam perkara yang sudah jelas dan tegas dalilnya.
Nubuwwah Rasulullah saw menjelaskan bahwa akan berlaku di tubuh umat ini banyak :
1.    Kemaksiatan.
2.    Kezaliman.
3.    Penyimpangan.
4.    Kesesatan.
5.    Perpecahan.
Tapi, apakah kita mahu menjadi :
1.    Orang yang bermaksiat?
2.    Orang yang berbuat zalim?
3.    Orang yang menyimpang?
4.    Orang yang sesat?
5.    Orang yang berpecah belah?
Mengapa kita tidak berusaha untuk :
1.    Membersihkan hati kita.
2.    Menjalankan ketaatan.
3.    Melaksanakan perintah Allah dan RasulNya.
4.    Berlaku lurus dan adil.
5.    Berusaha menjalankan kewajiban mencintai kaum muslimin.
6.    Menjadi orang yang tetap melakukan usaha menyatukan kaum muslimin.
Sungguh, hidup ini :
  1. Terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan dan perselisihan.
  2. Terlalu sempit untuk dipenuhi oleh rasa saling benci.
  3. Terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat.
Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang berlandaskan :
1.    Semangat ukhuwah yang tinggi.
2.    Saling cinta-mencintai.
3.    Manifestasi dengan amalan-amalan yang bermanfaat bagi masa depan dunia dan akhirat.
Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di atas DeenMu yang lurus. Tautkanlah ia dengan semangat ukhuwah yang menyala. Janganlah engkau jadikan perbezaan di kalangan kami sebagai sebab kepada perselisihan dan perpecahan . Hindarkanlah hati kami dari perasaan kedengkian sesama saudara kami serta limpahkanlah perasaan saling cinta mencintai antara sesama kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

‘At-tadarruj fi al-khutuwaat’ (bertahap dalam langkah dan perancangan)

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Misi gerakan Islam adalah membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
  1. Ia berputar sepanjang zaman mengajak manusia menerapkan syariat dalam kehidupan sebagai individu, masyarakat dan warga negara.
  2. Ia terus meluru laju untuk memikul misi membimbing umat manusia seluruhnya menuju sistem Islam beserta ajaran-ajarannya.
Dalam perspektif seperti ini, dakwah sebenarnya merupakan suatu tugas peradaban. Oleh kerana itu, sejak dari mula, para pemikul dakwah mesti menyedari panjangnya jalan yang mesti ditempuh dan banyaknya tenaga yang mesti dikerahkan.
Mereka bahkan mesti bersedia untuk mengorbankan jiwa, harta dan segala apa yang dimilikinya berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt.
TAHAPAN DAN URUTAN AMAL
Untuk merealisasikan tujuan yang mulia itu, sebuah gerakan dakwah mesti melakukan tahapan-tahapan amal, kerana salah satu ciri dakwah adalah At-tadarruj fi al-khutuwaat (bertahap dalam langkah dan perancangan).
Tahapan-tahapan amal yang mesti dilakukan adalah seperti berikut :
  1. Tahapan seruan (di’ayah), pengenalan (ta’rif) dan penyebaran fikrah (nasyr al-fikrah) kepada masyarakat.
  2. Tahapan pembinaan (takwin) dan pemilihan pendukung (takhyir al-anshar), penyediaan pasukan / perajurit  (I’dad al-junud) dan mobilisasi barisan (ta’biah ash-shufuf) dari kalangan mad’u.
  3. Tahapan aplikasi (tanfidz), kerja (amal) dan pengeluaran hasil (intaj).
Sedangkan maratibul amal (urutan amal) nya adalah :
  1. Perbaikan individu (Ishlah al-fard)
  2. Perbaikan rumah tangga (Ishlahul al-bait)
  3. Perbaikan masyarakat (Ishlah al-mujtama’)
  4. Pembebasan negeri (Tahrir al-wathan)
  5. Perbaikan pemerintahan (Ishlah al-hukumah)
  6. Penyiapan pembinaan khilafah (Bina al-khilafah)
  7. Pelopor dunia (Ustadziah al-alam)
Tiga tingkatan pertama merupakan kewajiban individu-individu muslim secara umum, juga menjadi kewajiban gerakan dakwah sedangkan empat tingkatan yang terakhir merupakan tugas yang mesti dipikul oleh gerakan dakwah sebagai sebuah tanzim dakwah yang aktif.
PERLAKSANAAN
Perlaksanaan tahapan dan urutan amal dakwah tersebut boleh diwujudkan dalam orbit kerja seperti berikut :
Mihwar Tanzimi (Orbit Organisasi)
Orbit Organisasi memberi penumpuan kepada pembentukan dan pencetakan aktivis sebagai asas operasi dakwah
Gerakan dakwah perlu membangunkan dirinya menjadi sebuah organisasi yang kuat dan teguh sebagai kekuatan utama yang mengoperasikan dakwah. Organisasi ini mesti diisi oleh orang-orang yang kuat dan teguh dalam seluruh aspek keperibadian.
Untuk itu diperlukan proses pembinaan dan pembentukan yang sistematik, lengkap dan memakan waktu yang secara relatifnya panjang. Mereka yang dipilih untuk dibentuk dan dibina mestilah orang-orang yang terbaik yang ada di dalam masyarakat.
Mihwar Sya’bi (Orbit Sosial)
Seterusnya gerakan dakwah mesti berusaha untuk :
  1. Membangunkan asas sosial yang luas dan merata serta membentuk wajihah-wajihah sebagai kekuatan pendukung dakwah.
  2. Menciptakan struktur budaya dan adab-adab sosial yang Islamik.
  3. Memastikan penguasaan peribadi dan tokoh Islam dalam masyarakat.
  4. Menjayakan sebaran kebudayaan yang luas di mana Islam menjadi faktor pembentuk pendapat dan pandangan umum.
  5. Mempertingkatkan usaha-usaha dakwah umum kepada masyarakat.
  6. Mewarnakan Islam dalam penampilan-penampilan budaya seperti pakaian, produk kesenian, etika sosial, istilah-istilah umum dalam pergaulan dan seterusnya.
Bagi tujuan tersebut, sebagai langkah awal, gerakan dakwah mesti bekerja keras membina  komitmen dan kekuatan aqidah pada sebahagian besar kalangan kaum muslimin iaitu komitmen aqidah yang menandakan persediaan ideologi masyarakat Muslim untuk hidup dengan sistem Islam pada seluruh tatacara kehidupannya beserta kekuatan aqidah untuk menampilkannya dalam lingkungan kehidupan secara yang mempesonakan.
Selain itu pada tahapan ini, secara idealnya, gerakan dakwah mesti mampu mewujudkan ketinggian pemikiran Islam di tengah-tengah masyarakat sehingga muncul kepercayaan umum bahwa secara konsepnya, Islamlah yang paling mampu menyelamatkan bangsa dan negara dan dengan itu, Islam menjadi arus yang membentuk arah pemikiran nasional.
Mihwar Muassasi (Orbit Institusi)
Gerakan dakwah mesti membangun berbagai institusi untuk menjadi wadah kepada segala kerja-kerja dakwah di seluruh sektor kehidupan dan di seluruh segmen masyarakat.
Ia seharusnya mampu mempertemukan dakwah dengan kegiatan dan institusi politik serta penerobosan dakwah ke parlimen.
Wilayah kerja dakwah pada orbit ini sangat luas dan rumit dan oleh yang demikian diperlukan pembentukan institusi-institusi pekerjaan seperti institusi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Pada tahapan ini juga perlu dilakukan usaha mengisi institusi-institusi samada dalam masyarakat ataupun pemerintahan yang sudah ada. Dengan usaha tersebut, maka akan terbentuklah jaringan aktivis dakwah di seluruh institusi yang strategik. Ini merupakan usaha-usaha penting yang diperlukan untuk mengurus dan mentadbir kehidupan bernegara yang Islamik.
Mihwar Daulah (Orbit Negara)
Dakwah mesti sampai pada tingkatan institusi negara di mana dengan institusi inilah gerakan dakwah dapat merealisasikan secara undang-undang dan kuat seluruh kehendak Allah swt ke atas kehidupan masyarakat.
Negara adalah wasilah dan bukan tujuan.
“Kebenaran mesti mempunyai negara kerana kebatilan pun mempunyai negara”, demikian kata-kata Ibnul Qayyim Al Jauziyah.
Orbit daulah perlu memainkan peranan baru untuk menyediakan :
  1. Pemimpin-pemimpin negara.
  2. ‘Blue Print’  pemerintahan.
  3. Peraturan-peraturan  dan perundangan.
  4. Pengelolaan negara.
Bagi memenuhi keperluan di atas, bebanan dakwah yang semakin berat dan tatacara kerja dakwah yang semakin luas ini menghendaki persiapan-persiapan yang lebih besar daripada orbit-orbit sebelumnya.
Di antara hasil kerja dakwah pada tahapan ini adalah melahirkan sumber tenaga manusia yang memiliki keterampilan akademik yang handal untuk mampu mentransformasikan ajaran-ajaran Islam ke dalam format perlembagaan, undang-undang dan pengeluaran hukum lainnya di samping memasukkan sekelompok tenaga kepimpinan pada tahap negara yang memiliki visi dan kemampuan teknikal untuk mengelola negara.
Merekalah yang akan menentukan (di tahap aplikasi) seperti apakah wajah Islam dalam alam nyata dan akan menentukan berhasil atau tidaknya projek Islamisasi iaitu membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
Pada orbit ini, gerakan dakwah wajib memberikan sumbangan yang aktif bagi mewujudkan kemandirian material yang akan menjadikan bangsa kita tetap hidup walaupun akan menghadapi sekatan dan pengasingan.
Mengapa berlaku demikian?
Ini adalah kerana sejarah mengajarkan kepada kita bahwa tidak pernah ada sebuah negara yang menyatakan Islam sebagai ideologinya, melainkan ia pasti memasuki hari-hari panjang yang penuh keringat, air mata dan darah.
Sejak Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, beliau perlu menghadapi 68 kali pertempuran dan memimpin 28 peperangan.
Di zaman kini pula setidak-tidaknya kita perlu belajar dari Iran (1979) dan Sudan (1987) di mana apabila kedua negara tersebut menyatakan diri sebagai Negara Islam, dunia dengan segera bertindak melakukan sekatan atau yang paling terkini, kita dapat belajar dari pemerintahan Hamas di Gaza, Palestin (2007).
Sejarah telah mengajarkan kepada kita bahwa ada risiko yang mesti ditanggung apabila sebuah negara menyatakan Islam sebagai jati dirinya.
Oleh kerana itu, apabila putaran ekonomi tetap dapat berjalan di dalam sebuah Negara yang mengistiharkan Islam sebagai dasarnya, maka itu sudah merupakan tanda persiapan ke arah Negara yang lebih bebas.
Gerakan dakwah pada orbit negara ini pun wajib mendukung peningkatan kapasiti pertahanan yang teguh disebabkan oleh halangan luaran yang mungkin dihadapi dan tidak terbatas hanya kepada gangguan ekonomi tapi juga gangguan pertahanan.
Selain itu gerakan dakwah pun mestilah mampu membangun  jaringan antarabangsa yang akan memungkinkan negara tetap wujud dalam percaturan antarabangsa atau tetap memiliki jalan keluar walaupun mungkin menghadapi risiko sekatan atau penjajahan.
Manakala apabila tahapan kerja dan syarat-syarat persediaan Islamisasi itu sudah dapat dipenuhi secara sempurna dan lengkap, maka pada saat itulah gerakan dakwah dapat memikul  tuntutan politik yang ditandai dengan adanya parti-parti politik (bersama masyarakat awam) yang secara rasminya meminta penerapan syariat Islam pada tahap perlembagaan.
Tahapan kerja dan pemenuhan syarat-syarat persediaan Islamisasi ini secara idealnya dapat berjalan secara berurutan. Namun pada kenyataannya lebih elok kalau ianya berjalan secara selari.
KERJA DAKWAH BELUM SELESAI
Dalam perspektif dakwah sebagai sebuah projek peradaban, langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh gerakan dakwah adalah usaha penyelarasan dengan bangsa-bangsa muslim lain yang menyangkut masalah politik, ekonomi, sosial, pertahanan, keamanan dan peradaban Islam secara umum.
Setelah itu, ia akan berupaya untuk membentuk persekutuan dan permuafakatan di antara mereka untuk mendirikan lembaga-lembaga ummat dan mengadakan muktamar antara negara lalu seterusnya berusaha untuk membentuk persekutuan bangsa-bangsa muslim.
Jika perkara itu dapat diwujudkan dengan sempurna, maka akan berhasillah sebuah kesepakatan untuk mengangkat pemimpin yang satu sebagai simbol persatuan umat Islam sedunia.
DAKWAH YANG LENGKAP
Apabila sampai ke tahap ini, barulah gerakan dakwah dapat berbicara kepada dunia sepertimana yang pernah Rasulullah saw katakan kepada Heraclius :
“Masuklah ke dalam Islam supaya kamu selamat!”
atau mengatakan kepada mereka seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis ;
“Ini (surat) datang dari Sulaiman, dan sesungguhnya (ia datang) dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (QS An Naml : 30)
Namun untuk sampai ke tahap ini, jalannya masih panjang dan berliku, La haula wa laa quwwata illa billah’.
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami teruskan usaha-usaha kami di setiap orbit-orbit yang kami lalui dan menetapkan kaki kami di atas jalan dakwah ini sehingga kami pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Mempersiapkan Kunci Pertolongan Allah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Pertolongan Allah itu pasti sebagaimana janjiNya di dalam Al Qur'an :

"Jika kamu menolong (agama) Allah, maka Allah pasti akan menolong kamu dan mengukuhkan kedudukan kamu." (QS Muhammad : 7)

Firman Allah tersebut menegaskan formula pertolongan Allah yang :

1. Bersifat prinsip.

2. Nyata.

3. Tidak boleh disangkal lagi.

Ianya adalah sebagai kesan dari kepatuhan yang tinggi orang-orang yang beriman.

Bantuan dan pertolongan Allah tidak datang begitu sahaja kerana Allah tidak akan memberi bantuan itu secara percuma.

Allah swt menghendaki bahwa pembelaanNya kepada orang-orang yang beriman berlaku dengan adanya usaha dari diri mereka sendiri agar mereka mencapai kematangan dari celah-celah kesulitan yang mereka alami.

Seseorang akan mencapai kematangan di saat potensi dan kekuatan terpendamnya bangkit dan keadaan itu tidak akan wujud kecuali apabila ia berhadapan dengan situasi bahaya.

Ketika seseorang melakukan usaha membela diri dan menghimpun seluruh tenaganya untuk berhadapan dengan sesuatu yang mengancam aqidah, prinsip dan kehidupannya, di sanalah seluruh sel kekuatannya akan bangkit.

Sekiranya pertolongan Allah itu datang tanpa melalui susah payah, maka kenikmatan yang didapati sesudah itu boleh sahaja akan menjadi penghalang munculnya potensi kekuatan yang dimiliki oleh seseorang.

Di samping itu, bantuan Allah yang diturunkan itupun mungkin rasanya tidak begitu bernilai lantaran tidak ada tuntutan pengorbanan yang bererti untuk memperolehinya.

Dalam perang Badar misalnya, pertolongan Allah datang tatkala kaum muslimin telah membuktikan dua perkara :

PERTAMA : Motivasi mereka yang sangat kuat dalam membela agama Allah, meskipun kaum muslimin di kala itu menyedari akan berhadapan dengan pasukan musuh yang jauh lebih besar dan lebih hebat berbanding mereka.

Dalam perang tersebut sejarah memperlihatkan indahnya kesungguhan dan keikhlasan para perajurit Islam dalam membela agama Allah dengan harta dan jiwa raga mereka.

KEDUA : Ketaatan dan kepatuhan mereka kepada pemimpin mereka, Rasulullah saw.

Ketaatan tersebut dijiwai oleh iman yang terpacak dalam dada mereka sehingga sukar untuk dipatahkan oleh kedahsyatan pertempuran.

Pertolongan Allah pun datang di saat yang tepat sebagai kesan logik dari kedua faktor di atas.

Meskipun dari segi jumlah dan persiapan perang kaum muslimin jauh lebih rendah dan lemah, namun dalam peperangan itu kaum muslimin memperolehi kemenangan gemilang.

Kesimpulannya, Allah menurunkan pertolonganNya kepada orang beriman hanya bila ada usaha dari diri mereka sendiri. Ia tidak memberi pertolongan sebagai sesuatu yang dijatuhkan begitu sahaja dari langit.

Apakah usaha-usaha yang mesti dilakukan yang akan menjadi kunci sehingga kita layak mendapat pertolongan Allah?

KUNCI PERTAMA : Membersihkan niat beramal dari segala motivasi yang tidak bersih.

Itulah ikhlas di mana ianya adalah kunci pertama yang paling penting bagi terbukanya pintu pertolongan Allah.

Nilai suatu pekerjaan sangat bergantung kepada kadar keikhlasan pelakunya. Meskipun secara zahirnya sesuatu pekerjaan itu nampak berat dan besar dalam rangka untuk membela kepentingan Islam, namun bila pelakunya tidak memiliki niat yang ikhlash, maka amalnya akan sia-sia bahkan mungkin akan mendatangkan siksa.

Ada orang yang mungkin melakukan pekerjaan yang dinilai baik di mata manusia, tapi ia berniat melakukannya untuk kemasyhuran atau kepentingan duniawi lainnya. Orang seperti ini tidak akan mendapat pertolongan Allah.

Dengan kata lain, wujudnya keikhlasan tidak sekali-kali terlihat sekadar bila seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang berat dan menanggung risiko.

Bahkan dalam medan jihad, pernah diceritakan di dalam sebuah hadith kisah seorang pemuda yang dilihat cukup gagah berani di medan pertempuran. Namun Rasulullah mengatakan pemuda itu adalah penghuni neraka. Di akhir pertempuran, para sahabat mendapati pemuda itu menghunus pedangnya ke tubuhnya sendiri lantaran tidak kuat menahan luka.

KUNCI KEDUA : Berdoa dengan penuh kepasrahan kepada Allah swt.

Dalam Al-Qur'an disebutkan :

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan penuh rendah diri dan suara yang lembut…" (QS Al-A'raf : 55)

Berdoa dengan rasa rendah diri dan suara lembut merupakan salah satu bentuk kesungguhan dan kepasrahan di hadapan Allah.

Memanjatkan doa kepada Allah mesti dilakukan dengan hati yang sungguh-sungguh dan penuh konsentrasi sebagai bukti kerendahan dan harapan penuh kita kepada Allah swt. Permohonan seperti ini, insyaAllah akan dikabulkan.

Rasulullah saw bersabda :

"Adakalanya seseorang yang rambutnya terurai dan berdebu, bahkan diusir dari semua pintu rumah orang kerana hina dalam pandangan manusia, namun kalau ia sungguh-sungguh meminta kepada Allah, pasti Allah akan mengabulkannya." (HR Muslim)

KUNCI KETIGA : Yakini bahwa kehidupan ini adalah ladang amal tanpa batas untuk meraih kebahagiaan di akhirat.

Ruang lingkup amal yang mesti dilakukan itu meliputi seluruh waktu kehidupan seseorang. Selama mana ia masih hidup, selama itu pula ia diperintahkan untuk terus berusaha dan berjuang sebatas kemampuan yang dimiliki.

Tidak ada ujian hidup yang melanggar kemampuan manusiawi.

Dalam surah Al-Baqarah, Allah swt telah menegaskan :

"Allah tidak akan membebani seseorang kecuali sebatas kemampuannya."

Seberat apapun ujian dan kesulitan hidup, pasti masih berada dalam batas kemampuan manusia untuk memikulnya dan manusia dapat memikul beban tersebut hanya dengan kualiti iman yang baik.

KUNCI KEEMPAT : Hindarkan diri kita daripada mengatakan bahwa kita sudah habis kesabaran menghadapi keadaan yang tidak sesuai.

Ini adalah kerana pada dasarnya batas kesabaran itu tidak ada. Batas kesabaran adalah sama dengan batas kehidupan manusia dan selama itu tidak ada pernyataan bahwa kesabaran kita sudah habis.

Sabar ertinya :

1. Tahan menderita menghadapi perkara-perkara yang tidak menyenangkan diri.

2. Sanggup menahan diri ketika memperolehi perkara- perkara yang menyenangkan sehingga tidak terjerumus kepada perbuatan maksiat.

Bersabar dalam penderitaan dan kesenangan menjadikan seseorang sentiasa dekat kepada Allah dan menjaga diri dari segala perkara yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah.

Orang semacam ini berhak mendapat kasih sayang Allah sehingga menjadi hamba yang dekat dengan Allah. Pertolongan Allah pun sangat mungkin turun pada hamba-hambaNya yang bersabar.

Justeru dengan bersabarlah para salafus soleh merasakan kenikmatan dalam hidup seperti yang dikatakan oleh Umar bin Al Khattab :

"Kami mendapatkan kebaikan hidup kami dengan bersabar."

Ali bin Abu Talib mengatakan :

"Ketahuilah bahwa kedudukan sabar bagi iman adalah seperti kedudukan kepala bagi tubuh. Jika kepala terputus, maka matilah badan."

Kemudian ia meninggikan suaranya sambil berkata :

"Ketahuilah bahwa tidak beriman orang yang tidak bersabar."

Umar bin Abdul Aziz mengatakan :

"Allah tidak memberi suatu kenikmatan pada hambaNya, kemudian Dia mencabutnya dari orang itu dan menggantinya dengan sabar, maka penggantinya itu lebih baik daripada apa yang dicabut darinya."

Itulah pertolongan Allah.

KUNCI KELIMA : Pantang berputus asa dari rahmat Allah.

Rasulullah saw pernah bersabda :

"Tiga golongan yang kelak tidak akan diperiksa lagi perkaranya (di akhirat). Iaitu …. orang-orang yang berputus asa dari rahmat Allah." (HR Thabrani, Abu Ya'la dan Bukhari dalam kitab Adab)

Putus asa ialah sikap tidak mempunyai harapan baik akan masa depan.

Sikap putus asa timbul pada diri orang yang kurang beriman pada kemurahan Allah swt kepada makhlukNya.

Lantaran keadaan tersebut, seseorang bahkan menuduh Allah tidak adil kerana menjadikan dirinya dalam kesulitan atau kesusahan.

Dengan kata lain, orang yang putus asa adalah orang yang mengingkari sifat keadilan, kemurahan dan kebijaksanaan Allah kepada makhlukNya. Sikap ini pasti menjadikan Allah murka.

KUNCI KEENAM : Tetap memelihara sikap istiqamah.

Ini dapat dilakukan dengan memperbanyakkan ibadah dan menjauhi maksiat. Orang yang istiqamah atau berpegang teguh pada petunjuk Allah akan sentiasa dituntun pada kebenaran.

Orang yang istiqamah dalam menjalani kehidupan di dunia ini akan dibebaskan oleh Allah dari :

a. Perasaan resah.

b. Perasaan takut.

c. Perasaan khuatir menghadapi segala ujian dan dugaan hidup.

Orang-orang semacam ini sentiasa berada di bawah kasih sayang Allah.
Di manapun mereka berada mereka sentiasa dinaungi malaikat rahmat, kerana mereka sentiasa dekat dengan Allah. Orang yang dekat dengan Allah sentiasa didengar dan diperhatikan oleh Allah sehingga mereka merasa aman dan tenteram tanpa sedikitpun merasa sedih dan was-was menghadapi halangan hidup.

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan "Rabb kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tidak (pula) berduka cita."(QS Fusshilat : 30)

KUNCI KETUJUH : Jangan sekali-kali menyalahkan ketentuan Allah.

Rasulullah saw bersabda :

"Tidak sekali-kali seorang muslim di bumi ini berdoa pada Allah meminta suatu permintaan, melainkan Allah akan memberi apa yang ia minta atau memalingkan darinya suatu kejahatan yang semisal dengan permintaannya, selagi ia tidak berdoa meminta suatu dosa atau memutuskan silaturahim."

Maka ada seseorang berkata :

"Kalau demikian, kami akan memperbanyakkan (berdoa)."

Beliau menjawab :

"Allah Maha Memberi." (HR Tirmidzi)

KUNCI KELAPAN : Pelajari dan lakukan sebab-sebab logik bagi datangnya pertolongan Allah.

Pertolongan Allah tidak akan datang bagi seseorang yang tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan keberhasilan sesuai dengan sunnatullah dalam alam semesta ini.

1. Keinginan untuk lulus dalam ujian mesti diiringi dengan usaha belajar dengan baik.

2. Keinginan untuk memperolehi rezeki yang banyak mesti diiringi dengan sikap tabah, cermat, tekun, disiplin dan profesionalisma yang tinggi.

3. Harapan agar keadaan umat Islam berubah menuju kejayaan, mesti didukung dengan usaha mendidik dan membina masyarakat muslim yang memiliki kefahaman dan komitmen agama yang baik kerana itulah asas dan syarat utama kemenangan umat Islam.
Begitulah seterusnya. Setelah sikap-sikap diatas mampu dimiliki, maka nantikanlah pertolongan Allah yang pasti datang.

Allah swt berfirman dalam salah satu hadits qudsi :

"Barang siapa yang memusuhi wali (kekasih)Ku, maka sungguh Aku telah mengumumkan perang terhadapnya, dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu dengan suatu perbuatan yang lebih Aku cintai daripada apa-apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan seorang hambaKu terus menerus mendekatkan diri kepadaKu dengan ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya. Dan bila Aku mencintainya, Akulah pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Akulah penglihatannya yang dengannya ia melihat, Akulah tangannya yang dengannya ia memukul, dan Akulah kakinya yang dengannya ia berjalan, Kalau ia meminta padaku, niscaya Aku beri dan jika ia meminta perlindungan kepadaKu niscaya Aku lindungi." (HR Muslim)

Hanya sahaja, perlu dicatatkan di sini iaitu jangan diertikan bahwa pertolongan Allah itu sentiasa datang dalam bentuk yang sesuai dengan keinginan kita.

Boleh sahaja Allah memberi pertolongan bukan dalam bentuk yang kita ingini, bahkan sebaliknya namun hendaklah kita pastikan bahwa itu adalah permulaan dari sesuatu yang baik.

Ya Allah, bukakanlah pintu-pintu pertolonganMu kepada kami setelah kami mempersiapkan kunci-kunci yang sesuai dengan kehendakMu. Sesungguhnya kami yakin bahwa Engkau akan sentiasa menolong dan membantu orang-orang yang beriman dan bertakwa selagimana kami berusaha untuk menegakkan syariatMu dan memperkukuhkan DeenMu di mukabumi ini.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS