Tuesday, March 29, 2011

Petikan buku Aku dan Ikhwan Al Muslimin - Prof Dr Yusuf Al Qaradhaw


Setelah 5 tahun aku bersama Ikhwan, aku ingin menyuarakan pandanganku. Waktu itu aku berfikir dan menilai perjalanan hidupku bersama Ikhwan. Aku bertanya pada diri sendiri, adakah dengan masuknya aku ke dalam Jemaah Ikhwanul Muslimin telah membawa kebaikan pada agama dan duniaku? Sejauh mana aku memperoleh manfaat daripada dakwah ini?

Aku ingin berterus terang mengatakan bahawa aku telah memperoleh manfaat agama yang besar dalam Ikhwanul Muslimin. Aku telah memperoleh faedah yang sangat banyak daripada dakwah Ikhwan:

1. Ikhwan telah meluaskan pemikiran ku memahami Islam secara menyeluruh sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-Nya, seperti yang diseru oleh Rasul-Nya dan difahami oleh para sahabat baginda. Islam adalah agama dan dunia, dakwah dan negara, akidah dan syariat, ibadah dan kepimpinan, mushaf dan pedang. Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya:

"Dan kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas seluruh umat manusia. Dan kami turunkan kepadamu al-kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri." (An Nahl: 89)

Para fuqaha telah sepakat menetapkan bahawa syariat Islam telah menggariskan segala bentuk akhlak. Tidak ada satu sikap pun yang tidak digariskan dalam syariat Islam. Aku semakin mengenali Islam secara menyeluruh. Islam yang aku fahami tidak hanya bersifat simbolik seperti yang aku fahami sebelum ini dan yang masih difahami oleh sebahagian besar umat Islam.

2. Aku memahami kewajipan amal jama'i (kerja secara kolektif) untuk memenangkan Islam. Ketika itu aku mulai faham dengan jelas bahawa untuk mengembalikan kemenangan Islam haruslah melalui kata-kata, perbuatan, dakwah dan pengorbanan. Begitu juga dalam usaha mengembalikan kepimpinan Islam yang telah hilang dan mengembalikan hukum syariat yang meliputi seluruh sudut kehidupan, menghadapi musuh-musuh Islam, dakwah, syariah, akhlak dan umatnya.

Semua ini tidak mungkin mampu dilakukan seorang diri. Tetapi mesti dilakukan dalam sebuah jemaah yang mengumpulkan sasaran yang jelas, matlamat yang nyata, memberi pemahaman yang terperinci, iman yang mendalam, keterikatan yang kuat untuk merealisasikan matlamat besar umat Islam setelah runtuhnya khilafah Islamiyah dan tidak adanya khalifah. Tidak ada lagi sebarang ikatan dan tidak ada sebarang sistem.

Semua telah sedia maklum bahawa Allah ada bersama jemaah. Seseorang akan lemah bila bersendirian dan kuat bila beramai-ramai. Serigala akan menerkam domba yang terpisah dari kumpulannya. Bekerjasama atas kebaikan dan taqwa itu adalah kewajipan umat Islam. Dan jika musuh-musuh Islam bersatu dan menyusun barisan untuk memusuhi Islam, kita tidak akan dapat menghadapinya seorang diri dan dalam keadaan berpecah-belah. Allah SWT berfirman:

"Dialah (Allah) yang memberi engkau kekuatan dengan pertolongan-Nya dan dengan sokongan orang-orang yang beriman..." (Al Anfal: 62)

3. Aku berubah daripada hanya menjadi seorang penasihat dan penceramah agama di Kemung atau di desa sekitarku kepada seorang pendakwah Islam. Penekananku dalam dakwah tidak lagi hanya pada tahap memelihara komitmen beragama bagi seorang individu muslim, meskipun ini merupakan tahap yang perlu terus diperbaiki. Penekananku berubah kepada tahap membina kebangkitan Islam secara global, yang mampu menyentuh pemikiran dan mampu menghidupkan hati seluruh umat manusia di muka bumi. Seorang penceramah agama mampu melembutkan hati, mengingatkan orang kepada kematian, menggunakan kisah-kisah, hadis-hadis motivasi dan peringatan. Sedangkan pendakwah Islam mempunyai misi untuk mencerdaskan fikiran, menyentuh perasaan, menguatkan tekad, meninggikan cita-cita, mengerah tenaga, menghimpun kekuatan, menguatkan ikatan, mengumpulkan Umat Islam untuk mengorbankan segala apa yang termampu untuk berjuang di jalan Islam.

4. Bergabungnya aku dengan Ikhwan telah mengubah cita-citaku daripada cita-cita biasa dan terbatas, pada cita-cita yang besar dan universal. Keinginanku tidak lagi hanya berputar di sekitar masalah peribadiku tetapi cita-cita yang berkaitan dengan umatku. Keinginanku tidak hanya sekadar menyelesaikan pengajianku, tetapi aku menginginkan sesuatu yang lebih luas dan dalam daripada sekadar mencari keuntungan peribadi dan masa depan diri sendiri.

Aku sangat inign membebaskan Sungai Nil, Negara-negara Arab, Islam dari seluruh kekuatan asing yang menjajahnya. Aku sangat ingin mengusir pemikiran dan sistem, serta undang-undang konvensional dan menerapkan pemikiran, sistem hukum Islam yang menggantikan tempatnya.

Aku sangat ingin menyatukan Umat Islam yang telah dipecah-belahkan oleh kejahiliahan, aliran mazhab, egoisme akibat strategi penjajah yang memecahbelahkan mereka. Aku sangat ingin mengembalikan khilafah Islamiyah untuk memimpin umat di bawah panji Al-Quran dan kepimpinan Muhammad SAW.

5. Antara manfaat yang aku perolehi daripada madrasah dakwah Ikhwanul Muslimin adalah membebaskan mahasiswa al-Azhar daripada terus terasing dalam masyarakat, yang merupakan akibat daripada sistem pembelajaran yang tidak menyeluruh. Generasi Mesir pada waktu itu terbahagi kepada 2 iaitu generasi yang mempunyai corak pemikiran agama yang merupakan keluaran al-Azhar, dna generasi kota yang berlatarbelakangkan pemikiran umum dan merupakan alumni pendidikan umum. Terdapat jurang pemikiran dan cara hidup yang sangat luas antara 2 golongan ini. Mereka tidak dapat disatukan. Maka, antara tujuan utama dakwah Ikhwan adalah untuk merapatkan jurang ini hingga mereka dapat saling bertukar-tukar manfaat. Jemaah Ikhwan telah berjaya menyatukan mereka atas dasar dakwah.

Dipetik daripada buku Aku dan Ikhwan Al Muslimin - Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi

No comments:

Post a Comment