Thursday, January 13, 2011

Merealisasikan Perancangan Strategik Dakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

“Sungguh akan terurai ikatan (agama) Islam itu satu demi satu! Apabila terurai satu ikatan, orang-orang pun bergantung pada ikatan berikutnya. Ikatan yang pertama sekali terlepas ialah hukum, sedangkan yang terakhir sekali terlepas ialah solat.” (HR Ahmad)

Sabda Rasulullah saw di atas mengandungi dua informasi :

PERTAMA : Informasi negatif tentang akan berlakunya penurunan dari segi pengamalan ajaran Islam.

KEDUA : Informasi positif tentang karakteristik ajaran Islam yang mencakupi seluruh aspek kehidupan meliputi urusan dunia dan urusan akhirat termasuk urusan hukum (pemerintahan) dan urusan peribadatan.

Dalam perspektif gerakan dakwah, dua informasi tersebut mengingatkan kita bahwa kerja gerakan dakwah dalam melakukan pengislahan dan perubahan mesti menyentuh seluruh aspek kehidupan.

Gerakan dakwah berkewajiban untuk :

1.      Terus bekerja dengan penuh kesabaran.
2.      Menjalin kembali ikatan Islam yang telah terurai itu satu demi satu mulai dari ikatan solat hingga ikatan hukum / pemerintahan.

Untuk itu diperlukan gerakan dakwah yang menyeluruh (dakwah syamilah).

Maksudnya, gerakan dakwah mesti mampu melakukan :

a.       Mobilisasi melintang berupa gerakan kebudayaan.
b.      Mobilisasi menegak berupa gerakan organisasi.

Mobilisasi melintang adalah penyebaran aktivis dakwah ke pelbagai kalangan dan lapisan masyarakat untuk menyediakan masyarakat agar mereka menerima manhaj Islam serta produk strategik yang Islamik.

Manakala mobilisasi menegak pula adalah penyebaran aktivis dakwah ke pelbagai institusi yang menjadi pusat-pusat ketetapan polisi agar mereka dapat menterjemahkan konsep dan nilai-nilai Islam ke dalam polisi umum.

Inilah perancangan strategik dakwah yang mesti dilaksanakan dan usaha ini adalah suatu pekerjaan yang sangat berat namun, kita yakin dengan berbekalkan keikhlasan dan kesungguhan kerja, ianya akan mendatangkan dukungan dan pertolongan Allah swt.

“Orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (QS Al-Ankabut : 69)

KERJA DAKWAH

Mobilisasi secara melintang dan menegak akan berjalan secara berkesan dan mencapai sasaran yang dikehendaki apabila didukung oleh kerja dakwah yang utama:

PERTAMA : Menyebarluaskan hidayah Allah swt (Nasyrul Hidayah)

Usaha ini boleh dilaksanakan secara :

a.      Lisan (qaulan).
b.      Amal (amalan).
c.       Contoh tauladan (qudwatan).

sehingga benih-benih kebaikan dapat tumbuh subur di tengah-tengah masyarakat.

Seorang muslim adalah juga duta khusus aktivis gerakan Islam yang semestinya menjadi teladan tentang nilai-nilai Islam dalam dirinya iaitu :

1.      Ketika bekerja.
2.      Ketika berbicara.
3.      Ketika makan dan minum.
4.      Dalam akhlak dan tarbiyah.
5.      Dalam menunjukkan simpati kepada orang lain.
6.      Dalam menjaga lisan dan jujur dalam percakapan.
7.      Dalam tolong-menolong antara sesama muslim.

Apabila ia melakukan semua itu kerana Allah, ia akan menjadi peribadi yang bagaikan batu bata dalam membangun masyarakat Islam.

Sedarilah wahai para pendakwah bahwa sesungguhnya masyarakat tidak akan berubah menjadi lebih komited jika mereka tidak mengenal hidayah Allah dan bagaimanakah mereka dapat mengenal hidayah Allah tanpa contoh tauladan dan bimbingan dari para ulama dan para pendakwah?

Oleh kerana itu, setiap kita mesti mengambil peranan. Kita mesti bekerjasama untuk menciptakan situasi yang kondusif bagi tumbuhnya satu suasana kebudayaan Islam di tengah-tengah masyarakat.

Para wartawan dan penulis perlu berperanan menjadi pelopor dalam melakukan kebaikan dan meluruskan pemikiran masyarakat melalui media informasi, contohnya melalui suratkhabar atau majalah yang mereka miliki. Media-media tersebut mesti mengeluarkan masyarakat dari kebejatan moral serta lebih mempedulikan soal pembinaan akhlak dan berusaha membentuk pandangan umum.

Yayasan-yayasan kebajikan mesti menjalankan peranannya dalam membantu fakir miskin, menyediakan keperluan orang-orang yang serba kekurangan, memberikan bantuan untuk pelajar serta menyebarkan sifat kedermawanan di tengah-tengah masyarakat.

Parti-parti politik mestilah menjaga kesatuan bangsa dan kehormatannya serta memperjuangkan kemerdekaan negara dengan harta, jiwa dan usaha.

Organisasi-organisasi Islam dengan pelbagai corak aktivitinya mesti berusaha mewarnai masyarakat dengan nilai-nilai Islam sejagat.

Para penjawat awam yang soleh mesti melakukan perbaikan dalam jabatan yang mereka tangani. Setiap muslim mesti membela, melindungi dan mempertahankan kebaikan dalam semua segi kehidupan dalam masyarakat.

Drama dan filem yang bercorak Islamik mesti menjadi alternatif di tengah-tengah gempuran filem-filem picisan dan acara-acara televisyen yang merosakkan.

Bank-bank Islam mesti menyedarkan umat dari bahaya riba yang telah menjerumuskan mereka dalam ekonomi berasaskan riba.

Para wakil rakyat dan anggota parlimen mesti menjadi perisai dalam menjaga nilai-nilai moral.

Institusi pendidikan Islam mesti mencetak dan membina para mahasiswa dan mahasisiwinya dengan menjadikan Islam sebagai prinsip.

Seluruh elemen masyarakat mesti didorong untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari keburukan serta melakukan Islamisasi dalam kehidupan mereka. Dengan usaha tesebut, maka akan terbinanya suatu masyarakat yang berwibawa.

KEDUA : Menyebarluaskan idealisma agar masyarakat memiliki semangat perjuangan dan dukungan kepada kehidupan yang lebih Islamik (Nasyrul Fikrah)

Kegiatan ini dilakukan dengan :

a.       Mentarbiyah umat.
b.      Mengingatkan masyarakat.
c.       Mengubah pandangan umum.
d.      Menyucikan jiwa.
e.       Membersihkan ruhani.
f.       Menyebarkan prinsip kebenaran.
g.      Berjihad dan bekerja menyebarkan nilai-nilai keutamaan di tengah umat manusia.

Di antara wasilah yang dapat digunakan oleh para aktivis dakwah adalah :

a.       Majlis Ilmu.
b.      Seminar.
c.       Ceramah.
d.      Khutbah.
e.       Kunjungan dakwah.
f.       Institusi kajian.

Selain itu, adalah sangat baik jika gerakan Islam mampu  mengeluarkan media informasi samada secara cetak atau elektronik yang dapat merebut pandangan umum untuk mendukung fikrah Islam.

Selain itu, aktivis dakwah hendaknya tidak enggan melakukan penyebaran fikrah ini secara langsung kepada lingkungan terdekatnya.

Bukankah di sekitar rumah kita ada masjid yang dapat mempertemukan kita sebanyak lima kali dalam sehari dengan jiran tetangga kita?

Sudahkah kita menyampaikan kepada mereka apa yang semestinya kita sampaikan?

Ada suatu perkara yang unik yang patut kita teladani dari para aktivis dakwah dari negara lain iaitu di Turki.

Mereka memiliki petugas yang bertanggungjawab mengurus setiap bahagian jalan.

1.      Setiap petugas mengetahui dan mengenal betul semua orang yang ada di sekitar dan di sepanjang jalan tersebut.
2.      Setiap mereka menyempatkan diri untuk berkunjung ke rumah-rumah yang ada di sisi jalan yang menjadi tanggungjawabnya.
3.      Setiap mereka mengucapkan rasa gembira pada ketika bergembira dan memberikan ucapan takziah jika sedang ditimpa musibah.

Dari sepanjang jalan inilah mereka menyampaikan fikrah dan sikap organisasi mereka.

Persoalan buat kita :

Apakah kita pernah berkunjung dan berbicara dengan jiran tetangga kita di rumahnya?

Sebenarnya, pekerjaan ini sangat mudah untuk dilakukan bagi mereka yang mahu mencubanya.

Islam adalah agama untuk semua manusia. Jika kita lalai menyampaikan informasi tentang keislaman, maka kita termasuk orang yang berdosa.

Gerakan Islam yang hakiki adalah gerakan yang melakukan dakwah dan tabligh. Dengan mengajak itulah kita akan dapat membentuk pandangan umum pada masyarakat. Dengan cara seperti itu juga, kita akan dapat mewarnai masyarakat dengan warna Islam untuk menuju perubahan.

KETIGA : Menggiatkan aktiviti amar  ma’ruf dan nahi munkar

Ini adalah suatu usaha untuk melakukan pensejajaran, koordinasi dan mobilisasi seluruh potensi positif yang membina di tengah-tengah masyarakat agar memberikan kemaslahatan bagi umat, bangsa, negara, kemanusiaan, dakwah dan sebagainya serta melakukan langkah-langkah mengurangkan atau mempersempitkan ruang gerak kemungkaran.

Jika dikaitkan dengan hadits di atas, yang memberi kita ilham tentang visi dakwah yang menyeluruh, maka aktiviti dakwah dan amar ma’ruf nahi munkar yang kita lakukan mestilah  menyentuh seluruh aspek :

a.       Aspek ibadah, dimulai dari bagaimana mengajak solat ke masjid, berpuasa, zakat, infaq, sedekah, haji, membenteras judi, arak, pelacuran dan sebagainya.
b.      Aspek keadilan, perundangan dan pemerintahan, dimulai dari membenteras rasuah dan mengurangkan jurang kemiskinan dan pengangguran, membela nasib buruh, petani dan nelayan, menegakkan hak asasi manusia, menegakkan permesyuaratan dan pembangunan ekonomi umat, mengurangkan diskriminasi di hadapan ketetapan hukum, melestarikan lingkungan hidup, membangun ilmu pengetahuan dan teknologi dan seterusnya.

Dari Abu Sa’id Al Khudri ra, beliau berkata, saya mendengar Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia merubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah ia merubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.” (HR Muslim)

KEEMPAT : Memelihara identiti masyarakat Islam dan penampilan Islam

Simbol-simbol keislaman mesti dimunculkan, samada yang bersifat fizikal (bangunan masjid, surau, madrasah) atau aktiviti (pendidikan Islam, majlis ilmu).

Identiti dan penampilan ini juga hendaklah muncul dalam perhiasan, pakaian, simbol-simbol, hiburan dan berbagai bentuk penampilan fizikal masyarakat termasuk pula dalam perilaku dan ucapan.

Masyarakat mesti sentiasa diarahkan untuk memiliki penampilkan yang Islamik dalam kehidupan seharian serta berbangga dengannya. Para muslimah berbangga dengan pakaian muslimah yang mereka kenakan dan anak-anak muda pula berbangga dengan kesenian yang Islamik.

Secara idealnya, simbol-simbol yang dimunculkan itu mestilah selaras pula dengan tradisi masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariah Islam.

Simbol mungkin bukan perkara yang mesti diletakkan sebgai nombor satu namun ia penting untuk memelihara intipati Islam lebih-lebih lagi jika simbol tersebut merupakan tuntutan syar’ie.

TIGA CITA-CITA BESAR

Oleh yang demikian, kita mesti bekerja lebih keras lagi kerana di hadapan kita ada tiga cita-cita besar yang perlu kita wujudkan :

PERTAMA : CITA-CITA DAKWAH

Kita bercita-cita untuk mewujudkan kehidupan yang Islamik yang menjadi rahmat bagi sekalian alam, iaitu kehidupan yang merujuk kepada nilai-nilai Al-Qur’an dan As Sunnah.

Kita juga bercita-cita supaya terwujudnya masyarakat yang Islamik, iaitu masyarakat yang bergabung secara ideologi kepada Islam; melakukan semua tuntutan fardhu ‘ain di dalam kehidupan seharian mereka serta menjaga diri dari dosa-dosa besar.

Untuk mencapai tujuan tersebut, kita mestilah terus bekerja :

1.      Menyampaikan dakwah dan tarbiyah Islamiyah kepada masyarakat secara benar, jelas, utuh dan menyeluruh.
2.      Mendorong kebajikan dalam pelbagai bidang kehidupan.
3.      Membenteras kedangkalan ilmu, kemiskinan dan kerosakan moral.
4.      Menghimpun jiwa dan menyatukan hati manusia di bawah naungan prinsip-prinsip kebenaran.
5.      Mendekatkan persepsi antara mazhab-mazhab di kalangan umat Islam.
6.      Memberi jalan penyelesaian alternatif terhadap berbagai persoalan umat dan bangsa serta pembangunannya.
7.      Membangun peradaban manusia atas dasar keseimbangan iman dan material.
8.      Memantapkan prinsip-prinsip Islam.
9.      Mengukuhkan erti beragama yang sebenarnya pada setiap peribadi dan keluarga samada  dalam ucapan atau perbuatan.
10.  Membina dengan cara yang benar sesuai dengan Al-Qur’an dan As Sunah dalam hal aqidah, ibadah, akhlak, muamalah, ruhiyah, aqliyah dan jasadiyah.
11.  Meneguhkan makna ukhuwah yang sebenarnya dengan saling melindungi secara utuh, saling menolong secara penuh hingga tercipta suatu kesatuan sosial.
12.  Melahirkan generasi baru yang memahami dan melaksanakan Islam secara baik serta berperanan dalam berbagai sektor kehidupan.

KEDUA : CITA-CITA POLITIK

Cita-cita dakwah yang luhur tersebut memerlukan penjaga, iaitu kekuatan politik.

Dengan kekuatan inilah, kita dapat merealisasikan ajaran Islam secara sepenuhnya dengan :

1.      Mewujudkan rasa aman.
2.      Melaksanakan undang-undang.
3.      Meratakan pendidikan.
4.      Menyiapkan kekuatan.
5.      Memelihara kesihatan.
6.      Menjaga kepentingan dan kemudahan awam.
7.      Menjaga sumber alam semulajadi.
8.      Mengelola kekayaan negara.
9.      Mengukuhkan akhlak masyarakat.
10.  Menyebarkan dakwah.

Untuk mencapainya, gerakan dakwah mesti melakukan usaha ke arah penglibatan politik dalam pemerintahan dan dimulai dengan usaha mengukuhkan kewujudan institusi politik. Dari masa ke semasa, kewujudan institusi politik ini mesti terus dikembangkan.

KETIGA : CITA-CITA PERADABAN

Ini adalah perlaksanaan dari apa yang disebut oleh Imam Hasan Al-Banna sebagai ‘Ustaziyatul alam iaitu penegakan kepimpinan dunia dengan penyebaran dakwah Islam ke seantero dunia.

“Sehingga tidak ada lagi fitnah dan agama itu hanya untuk Allah”. (QS Al-Baqarah : 193)

Maksud ayat di atas adalah :

1.      Kemusyrikan akan menjadi sangat hina di muka bumi dan nilai ibadah dan perhambaan kepada Allah menjadi semakin tinggi dan mulia.
2.      Tidak ada lagi kekhuatiran pada kita dalam menegakkan agama.
3.      Tidak ada lagi keraguan dan sikap sembunyi-sembunyi dalam urusan agama.

Ini adalah kerana dunia telah diwarnai dengan warna Islam setelah sebelumnya dikotori oleh falsafah materialisma yang didukung oleh dua kekuatan utama untuk mempertahankan cengkamannya iaitu senjata dan wang.

Marilah kita mengingati kembali janji Rasulullah saw kepada umat Islam.

 Tersebarnya Islam di seluruh Dunia
“Islam akan mencapai wilayah yang dicapai siang dan malam. Allah tidak akan membiarkan rumah yang mewah mahupun yang sederhana kecuali akan memasukkan agama ini ke dalamnya…” (HR Ahmad)
Eropah akan dikuasai oleh Umat Islam
Abdullah bin Amru bin Ash mencatat hadits dari Rasulullah saw apabila ditanya :

“Kota mana yang akan lebih dahulu dibebaskan oleh Islam, Konstantinopel atau Romawi?”

Baginda menjawab :

“Kota Herakliuslah (Konstantinopel / Istanbul) yang akan dibebaskan terlebih dahulu!”

Nubuwwah tersebut terbukti pada Abad  ke 9 Hijriyah iaitu bertepatan dengan abad ke 15 Masehi tepatnya pada hari Selasa, 20 Jamadil Ula 857 H / 29 Mei 1453 M.

Pembebasan Konstantinopel pada ketika itu dipimpin oleh seorang Komander muda pemerintahan Utsmaniyah berusia 23 tahun yang bernama Muhammad bin Murad atau dikenali juga dengan sebutan Muhammad Al-Fatih.

Ketika ini, kita masih menunggu nubuwwah yang kedua iaitu dibebaskannya Rom (Itali). Insya Allah di negara ini pun, sinar ajaran Islam akan memancar dengan sempurna.

Syaikh Yusuf Qardhawi mengandaikan bahwa pembebasan Rom ini akan berlaku dengan perantaraan pena dan lidah (diplomasi), wallahu a’lam.

Meluasnya kekuasaan Islam di Timur dan Barat
“Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepadaku bumi bahagian timur dan bahagian baratnya, dan kekuasaan umatku akan mencakupi bumi yang aku lihat itu.” (HR Muslim)
Kemakmuran Umat Islam
“Hari kiamat tidak akan terjadi hingga harta umat Islam sedemikian melimpah dan berlebihan, hingga orang yang mempunyai harta kesulitan mencari orang yang mahu menerima sedekahnya, dan jika ingin memberikan hartanya kepada seseorang, orang yang akan diberikan harta tersebut berkata, ‘Aku tidak memerlukannya’” (Hadits Muttafaq ‘alaih)
Kembalinya Khilafah ‘ala Minhajin Nubuwwah
“Masa kenabian akan berlangsung pada kamu dalam beberapa tahun, kemudian Allah mengangkatnya, setelah itu datang masa kekhalifahan atas manhaj kenabian, selama beberapa masa hingga Allah mengangkatnya, kemudian datang masa kerajaan yang buruk / zalim (mulkan ‘aadhan) selama beberapa masa, seterusnya datang masa kerajaan diktator (mulkan jabariyyan) dalam beberapa masa hingga waktu yang ditentukan Allah, setelah itu akan (terulang lagi) khilafah ‘ala minhajin nubuwwah (kekhalifahan atas manhaj kenabian). “ (HR Ahmad, Al-Bazzar dan Thabrani).
Kekuatan arus gelombang Islam

Umat Islam memiliki kekuatan iman dan kekuatan manhaj.
Perkara ini diperkuatkan oleh seorang penulis barat, Paul Schmidt dalam bukunya Islam Kekuatan Masa Depan yang menyebutkan bahwa ada tiga tiang kekuatan umat Islam :
Pertama : Kekuatan Islam sebagai agama.
Kedua : Tersedianya sumber-sumber kekayaan alam semulajadi.
Ketiga : Suburnya keturunan pada umat Islam.
Menurutnya, jika tiga tiang ini kukuh dan umat Islam bersatu di atasnya, maka Islam akan menjadi ancaman kepada Eropah dan bangkitnya Islam menjadi pemimpin dunia.
Dari huraian di atas dapatlah diambil kesimpulan bahwa tidak ada alasan lagi bagi kita untuk bersikap pesimis dalam menatap masa depan Islam yang cemerlang dan benarlah Sayyid Qutb apabila beliau berkata :
Al-Mustaqbal li haazad diin iaitu Masa depan adalah milik Islam.
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.” (QS At-Taubah : 32 – 33)

Dan katakanlah : “Bekerjalah kamu, maka Allah dan rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.(QS At-Taubah : 105)

Akhir sekali marilah kita sedari bahwa kerja kita belum selesai dan marilah kita bekerjasama dan tolong menolong dalam usaha melaksanakan kebaikan dan taqwa di dalam diri dan masyarakat serta menjauhi diri dari bekerjasama dalam perbuatan dosa dan permusuhan.

Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalan dakwah ini untuk kami berusaha menjalinkan kembali ikatan Islam yang telah terurai satu demi satu dengan penuh istiqamah dan kesabaran sehingga tercapai cita-cita dakwah, kekuasaan dan peradaban Islam yang akan memenuhi bumi ini dengan ketundukan dan kepasrahan sepenuhnya kepada kekuatan dan keagunganMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

'Tadabbur' Pintu Kefahaman

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Sudah menjadi tradisi di kalangan umat Islam menghabiskan sebahagian besar waktunya di hadapan ‘mushaf’ untuk bersungguh-sungguh dalam membaca Al-Qur'an dan mengkhatamkannya berulang kali, bahkan saling berlumba-lumba untuk mengkhatamkan sebanyak-banyaknya.

Tidak diragukan lagi usaha seperti ini mengandungi tujuan yang positif dari beberapa seginya seperti :
  1. Perhatian kaum muslimin terhadap kitab suci mereka.
  2. Kecintaan dan keterikatan mereka terhadapnya.
Namun, sangat sayang sekali bahwa yang menjadi pusat perhatian mereka hanya tertumpu kepada huruf-huruf dan lafadz Al-Qur'an sahaja tanpa memahami isi serta makna lafadz tersebut yang boleh menjadikan seseorang istiqamah terhadap perintah-perintah Allah dan berpegang teguh di jalanNya yang lurus sebagaimana firman Allah swt :

“Sesungguhnya Al-Qur'an ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus.” (QS Al-Isra’ : 9)
Namun ternyata, kita sangat jauh dari apa yang dikehendaki oleh Al-Qur'an.
Sebagai bukti nyata, tatkala seseorang di antara kita membaca ayat demi ayat, surah demi surah dan mengkhatamkan berkali-kali, akan tetapi bacaannya itu tidak meninggalkan jejak pada perilaku dan akhlaqnya.

Bahkan jika kita menanyakan kepada mereka apa yang dapat mereka renungkan dari ayat-ayat yang dibaca, niscaya kita tidak akan mendapatkan jawaban apa-apa dari mereka bahkan yang penting bagi mereka hanya mengumpulkan pahala yang banyak sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw :
“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al Qur'an maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan dinilai dengan 10 semisalnya (10 kebaikan), saya tidak mengatakan ‘alif’, ‘lam’, ‘mim’ satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.” (Hadits hasan, riwayat Tirmidzi dari Abdullah bin Mas'ud)

JANGAN SEKADAR MEMBACA
Sebenarnya bukan seperti itu yang diinginkan oleh Rasulullah saw.
Kalaulah Al-Qur'an hanya berkaitan dengan banyaknya pahala yang akan kita dapatkan ketika membacanya, maka yang lebih baik adalah kita mengalihkannya kepada amalan lain yang akan memberi kita pahala yang lebih besar lagi sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah saw :
“Barangsiapa masuk ke sebuah pasar kemudian mengucapkan kalimat ‘laa ilaaha illa-llah wahdahu laa syariika lahu, lahulmulku wa lahulhamdu yuhyi wa yumitu, wa huwa hayyun laa yamuutu bi yadihil khoir wa huwa 'ala kulli syaiin qodiir. (Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagiNya, kepunyaanNya kerajaan langit dan bumi, bagiNya lah segala puji yang menghidupkan dan mematikan. Dan Dia itu hidup tidak akan mati, digenggamanNya lah semua kebaikan dan Dia Maha Kuasa terhadap segala sesuatu), dicatat baginya beribu-ribu kebaikan dan dihapus darinya beribu-ribu kesalahan dan dia akan diangkat beribu-ribu darjat dan akan dibangunkan untuknya rumah di syurga” (Hadith di dalam Shahih Jami' As Shaghir)

Ini bukanlah bererti kita meremehkan pahala tilawah Al-Qur'an, akan tetapi, kita ingin meluruskan kembali persepsi terhadap cara berinteraksi yang salah dengan Al-Qur'an bahwa sebenarnya nilai dan barakah Al-Qur'an terdapat pada makna yang dikandungnya, manakala lafadz merupakan wasilah untuk mengetahui maknanya.
Oleh kerana itu, Rasulullah saw mengarahkan dan membangkitkan semangat membaca Al-Qur'an dengan diberi pengharapan terhadap pahala yang besar sepertimana sebuah perumpamaan:
‘Seorang ayah yang memberi wang saku untuk anaknya agar dia tekun belajar dalam waktu yang berjam-jam tentu sahaja dia tidak bermaksud agar anaknya hanya duduk di kerusi dan membolak-balikkan halaman buku tanpa mendapatkan kefahaman, akan tetapi tujuan si bapa tadi adalah untuk memberi motivasi agar anaknya terus belajar dengan serius supaya dia menjadi orang yang berjaya dalam hidup.’

Bila kita memperhatikan tujuan utama diturunkan Al-Qur'an dan kita hubungkan antara perumpamaan tadi dengan pahala besar yang diberikan oleh Allah Yang Maha Bijaksana atas bacaan Al-Qur'an tersebut, maka kita akan dapati bahwa tujuan dari pahala-pahala tersebut merupakan motivasi bagi kaum muslimin agar sentiasa dekat dengan Al-Qur'an supaya :
  1. Kita memperolehi petunjuk dan hidayah melalui Al-Qur'an.
  2. Kita mendapatkan kesembuhan jiwa melalui ubat dan ramuannya.
Adapun kalau kita mendekatkan padanya tanpa tujuan yang jelas kecuali hanya ingin mendapatkan pahala bacaan semata-mata tanpa memperhatikan makna yang dikandungnya, maka amat jelas bahwa kita akan rugi dengan interaksi yang kaku ini dan Al-Qur'an tidak akan menjadi hidayah bagi kita.

TADABBUR, SATU-SATUNYA JALAN
Sebenarnya nash-nash Al-Qur'an sangat jelas dalam menekankan akan kepentingan bertadabbur ketika membaca atau mendengarkan Al-Qur'an, supaya tadabbur itu dijadikan sebagai wasilah untuk memahami perintah Allah dan mempengaruhi diri kita untuk kemudiannya diamalkan.
Ini sebagaimana firman Allah swt :

"Kitab ini kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran". (QS Shaad : 29)
Firmana Allah lagi :

"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur'an ataukah hati mereka terkunci?" (QS Muhammad : 24)
Untuk memahami pesanan-pesanan Al-Qur'an, kita mestilah membiasakan diri untuk membacanya dengan penuh tadabbur.
Oleh kerana itu Rasulullah saw menasihati Abdullah bin Amr bin Ash ra supaya tidak mengkhatamkan Al-Qur'an kurang dari tiga hari sebagaimana sabda baginda :
"Tidak akan faham seseorang yang membacanya (Al-Qur'an) kurang dari tiga hari." (Hadits dalam Shahih Jami' As Shaghir)
Bukankah kita selalu bersungguh-sungguh untuk memahami setiap perkataan yang kita baca atau kita dengar?
Jadi, mengapa kita tidak praktikkan kaidah ini terhadap Al-Qur'an?
Syaikhul-Islam Ibnu Taimiyah berkata :
"Sudah menjadi maklum bahwa setiap perkataan itu, tujuannya untuk dapat difahami, bukan untuk sekadar mengetahui lafadz-lafadznya sahaja, maka Al-Qur'an lebih utama (untuk difahami) dari semua itu."
Perkara ini juga dikuatkan oleh Ustaz Hasan Al-Hudhaibi yang berkata :
"Yang menjadi panduan seseorang dalam tilawah Al-Qur'an bukanlah seberapa banyak ia membacanya, namun sejauh mana ia dapat mengambil manfaat dari hasil bacaannya. Al-Qur'an tidak akan turun sebagai barakah kepada Nabi saw dengan lafadz-lafadz yang tidak bermakna. Sesungguhnya barakah Al-Qur'an itu adalah pada saat kita mengamalkannya, dan saat kita mengambilnya sebagai manhaj hidup yang menerangi jalan orang-orang yang menempuhnya. Maka ketika kita membaca Al-Quran, mestilah diniatkan untuk merealisasikan kandungan makna tersebut dan itu hanya boleh dilakukan dengan mentadabbur ayat-ayatnya, memahami dan mengamalkannya."

TADABBUR, WASILAH BUKAN TUJUAN
Sudah tentulah seseorang yang menyertai tilawah  di atas dasar kefahaman dan tadabbur sebagaimana Imam Al-Qurtubi menyatakan dalam tafsirnya tentang ayat :
"Apakah kamu tidak mentadabbur Al-Qur'an. Kalaulah ia bukan dari sisi Allah tentu mereka akan mendapati pertentangan yang banyak didalamnya.” (QS An-Nisa’ : 82)
Ia mengatakan :
"Ayat ini menunjukkan atas (hukum) wajibnya mentadabbur Al-Qur'an untuk mengetahui maknanya."
Maka tadabbur Al-Qur'an, sekalipun diwajibkan ke atas para pembacanya atau atas pendengarnya, tetapi tadabbur itu sendiri bukanlah merupakan tujuan utama melainkan ia adalah wasilah untuk membangkitkan kembali mu'jizat agung yang dikandungnya dan merealisasikan mu'jizat itu pada jiwa-jiwa yang menerimanya.

MUKJIZAT YANG TERAGUNG
Kita semua tahu bahwa Al-Qur'an yang ada di tangan kita merupakan mukjizat yang besar dan agung yang datang dari Allah, lebih agung dari tongkat Nabi Musa as dan dari unta Nabi Soleh as dan dari mukjizat-mukjizat lainnya.
Lalu apakah rahsia yang menjadikannya lebih tinggi dari mukjizat-mukjizat sebelumnya?
Sebahagian menjawab bahwa mukjizat Al-Qur'an tersembunyi dalam :
  1. Ushlub dan gaya bahasanya.
  2. Cabaran terhadap seluruh umat manusia yang tidak mampu membuat yang semisal dengannya.
  3. Kesesuaian untuk setiap zaman, tempat dan masa.
Semua jawaban ini benar dari beberapa segi kemukjizatan Al-Qur'an, akan tetapi ada rahsia kemukjizatannya yang lebih besar iaitu dalam keajaibannya untuk mengubah.
Mengubah manusia walau macam mana sekalipun dan dari lingkungan yang bagaimanapun sekalipun bahkan ia mengubah mereka menjadi manusia baru yang lebih ‘alim (berpengetahuan luas), ‘abid (tekun beribadah) dalam segala perkara dan keadaannya sehingga membentuk keperibadian yang digambarkan oleh Al-Qur'an :

"Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Rabb semesta alam"(QS Al-An'am : 162)

KEAJAIBAN ITU BERLAKU
Perubahan yang berlaku melalui Al-Qur'an bermula dari masuknya cahaya Al-Qur'an ke hati, maka setiap kali cahaya tersebut menerangi suatu bahagian dari bahagian-bahagian hati, kaburlah kegelapan yang disebabkan oleh kemaksiatan, kelalaian dan mengikuti hawa nafsu.
Sedikit demi sedikit bertambahlah cahaya ke dalam hati dan merangkaklah kehidupan hati di setiap sisinya memulai hidup baru yang belum pernah berlaku sebelumnya.
Allah swt berfirman :
"Dan apakah orang yang sudah mati kemudian ia kami hidupkan dan kami berikan ia cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan dengan orang yang keadaannya berada dalam keadaan gelap gulita yang sekali-sekali tidak dapat keluar daripadanya? (QS Al-An'am : 122)
Al-Qur'an merupakan Ruh yang menyebar dalam seluruh penjuru hati maka ia menghidupkan akan setiap hati yang mati. Allah SWT berfirman :
"Dan demikianlah kami wahyukan kepadamu Ruh (Al-Qur'an) dengan perintah kami . Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi kami menjadikan Al-Qur'an itu cahaya yang kami tunjuki dengan dia siapa yang kami tunjuki siapa yang kami kehendaki diantara hamba-hamba kami". (QS As-Syura : 52)
Ketika Ruh tersebut melekat ke dalam hati dan setiap penjurunya dipenuhi dengan cahaya iman, maka ia mampu mengusir hawa nafsu dan rasa cinta terhadap dunia dan kemudiannya akan mempengaruhi perilaku seorang hamba dan tujuan hidupnya.
Inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah saw kepada para sahabatnya ketika ia ditanya tentang makna 'insyirah shadr' (keterbukaan dada) dalam firmanNya :
"Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk menerima agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? (QS Az-Zumar : 22)
Nabi saw menjelaskan :
“Apabila cahaya iman masuk terbukalah hatinya” (untuk menerima kebenaran).”
Kami bertanya : “Wahai Rasulullah, apa ciri-cirinya?”
Rasulullah saw bersabda :
“Kerinduan kepada kampung keabadian, merasa jauh dari dunia yang menipu, bersiap-siap untuk menghadapi kematian sebelum ia datang."

KEHEBATAN MUKJIZAT ALQUR'AN
Allah swt berfirman :
"Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung ganang dapat digoncangkan, atau bumi jadi terbelah, atau oleh kerananya, orang-orang yang sudah mati dapat berbicara (tentu Al-Qur'an itulah dia).”  (QS Ar Ra'ad : 31)
Sesungguhnya Al-Qur'an memiliki pengaruh yang sangat kuat yang tidak mungkin kita bayangkan di mana Allah mengumpamakan kepada kita dengan suatu contoh :
"Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Qur'an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” (QS Al-Hasyr : 21]

Gunung, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Al-Qurtubi :
“Apabila Al-Qur'an ini diwahyukan kepadanya dengan susunan dan gaya bahasa yang indah yang mengandungi pelajaran-pelajaran berharga, maka kamu akan melihat gunung yang keras dan kukuh itu pecah dan hancur berkeping-keping kerana rasa takut kepada Allah".
Dalam contoh di atas, kita diperintahkan untuk merenungkan kekuatan pengaruh yang dimiliki oleh Al-Qur'an agar menjadi hujjah bagi semua manusia dan mematahkan dalih orang-orang yang beralasan bahwa mereka tidak mempunyai kemampuan untuk mentadabbur Al-Qur'an.

JIN PUN BERIMAN
Di antara bukti kemukjizatan Al-Qur'an dan kekuatannya yang dahsyat dalam mempengaruhi adalah sebagaimana yang berlaku terhadap sekelompok jin ketika ia mendengarkan ayat Al-Qur'an.
Allah swt berfirman :
"Dan ingatlah ketika kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur'an , maka tatkala mereka mengghadiri pembacaannya lalu mereka berkata: "Diamlah kamu untuk mendengarkannya". Ketika pembacaannya telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk memberi peringatan) mereka berkata : ‘Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al-Qur'an) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus. Wahai kaum kami , terimalah (seruan orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepadanya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari adzab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan ) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan dapat melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah, mereka itu dalam kesesatan yang nyata." (QS Al-Ahqaaf : 29-32)

BUKTI NYATA YANG TIDAK BOLEH DILUPAKAN
Al-Qur'an memiliki pengaruh yang luar biasa pada setiap jiwa yang menyambutnya dan yang selalu berinteraksi dengan sebenar-benarnya dan menjadikannya sebagai petunjuk dan ubat.
Maka berlakulah perubahan yang besar-besaran dalam keperibadiannya, sebuah kehidupan dengan rancangan dan bentuk baru yang lebih dicintai dan diridhai oleh Allah swt.
Jika kita ragu akan hal ini, marilah kita lihat apa yang berlaku kepada sahabat-sahabat Rasulullah saw.
Mereka adalah orang-orang yang berada dalam kesesatan dan kejahiliyahan yang nyata sebelum mereka masuk Islam. Kemudian, dalam keadaan yang demikian mereka masuk ke dalam "Projek Al-Qur'an" dan kemudiannya keluar sebagai manusia-manusia baru yang menjadi kebanggaan umat manusia sampai saat ini.
Ini merupakan sesuatu yang menakjubkan sebagai bukti bagi kemampuan kitab ini untuk mengubah apa yang ada dalam jiwa seseorang sampai ke akarnya.
Kalau bukan demikian, siapa yang percaya bahwa sebuah umat yang hidup di tengah padang pasir, tidak mempunyai alas kaki, berpakaian sederhana, miskin, tidak dicatat dalam sejarah, yang dianggap remeh oleh kekuatan-kekuatan tamadun pada masa itu, apabila datangnya Al-Qur'an, ia :
  1. Mengubah dan membangun kembali keperibadian mereka dengan rancangan, bentuk, dan kehidupan yang benar-benar baru.
  2. Mengangkat cita-cita dan semangat putera-putera umat itu ke langit.
  3. Mengikatkan hati-hati mereka kepada Allah agar hanya Dialah menjadi satu-satunya tujuan.
Semua ini berlaku dalam waktu yang begitu singkat iaitu hanya dalam hitungan tahun, kafilah ini berubah dengan sangat dramatik.
Maka apakah yang berlaku setelah itu?
Janji Allah menjadi sesuatu yang nyata, sebagaimana yang dijanjikannya terhadap hamba-hamba-Nya ketika mereka telah menunaikan kewajiban untuk memperbaiki diri sendiri.
Allah swt berfirman :
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum sampai mereka mengubah diri apa yang ada dalam diri mereka sendiri." (QS Ar-Ra'ad : 11)
Dalam hitungan tahun, muncullah sebuah kekuatan baru dari kegersangan padang pasir untuk menghancurkan dinasti-dinasti zalim.
Bertukarlah timbangan kekuatan dan kemudian kepimpinan umat manusia beralih ke tangan mereka.
"Maka siapakah yang lebih menepati janji (selain) Allah?" (QS At-Taubah : 111)

BILA PERUBAHAN ITU BERLAKU?
Yang membuatkan Al-Qur'an mampu mengubah para sahabat Rasulullah saw secara drastik disebabkan :
  1. Interaksi yang baik antara Sahabat ra dengan Al-Qur'an setelah mereka mengetahui betapa berharganya Al-Qur'an dan mereka betul-betul memahami untuk apa Al-Qur'an diturunkan.
  2. Mereka menjadikan Rasulullah saw sebagai guru sekaligus qudwah bagi mereka.
Sungguh, Rasulullah saw telah menghidupkan nilai-nilai Al-Qur'an dengan perilakunya dan men’shibghah’ kehidupannya dengan Al-Qur'an seakan-akan baginda adalah Al-Qur'an yang berjalan di muka bumi, membenci apa yang dibenci oleh Al-Qur'an dan ridha terhadap apa yang diridhai oleh Al-Qur'an.
Rasulullah saw membaca Al-Qur'an dengan perlahan tidak tergesa-gesa, ia melantunkan dengan indah sebuah surah dalam Al-Qur'an sehingga dirasakan bacaannya lebih panjang dari surah itu sendiri.
Pernah Rasulullah saw qiyamullail sepanjang malam dengan mengulang-ulangi satu ayat dalam solatnya yang berbunyi :
"Jika Engkau mengazab mereka maka sesungguhnya mereka adalah hambaMu dan jika Engkau mengampuni mereka maka sesungguhnya Engkau adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS Al-Maaidah : 118)
Bahkan kita akan terpegun kagum terhadap pengaruh Al-Qur'an yang sangat kuat ke atas diri Rasulullah saw ketika baginda memberitakan kepada kita :
"Surah Hud dan seumpamanya (Al-Haaqqah, Al-Ma'arij, At-Takwir dan Al-Qaariah ) telah membuat rambutku beruban sebelum waktunya."
Adapun pengaruh Al-Qur'an ke atas jiwa para sahabat radhiyallahuanhum, maka sebaik-baik bukti adalah ketika kehidupan mereka berganti dan tujuan berubah arah.
Jika kita ingin mengetahui kehidupan para sahabat dengan Al-Qur'an dan betapa kuatnya pengaruh Al-Qur'an terhadap mereka, maka lihatlah Abbad bin Bisyr yang saling bergantian berjaga malam bersama Ammar bin Yasir dalam peperangan Dzaturriqa'.
Ia meminta Ammar dengan secara memaksa untuk tidur di awal malam agar ia dapat berjaga ketika ia melihat tempat tersebut aman, ia pun solat. Maka datanglah salah seorang musyrikin memanahnya, ia pun mencabutnya dan meneruskan solatnya. Kemudian musyrik tersebut melemparkan panahan yang kedua, ia cabut lagi dan menyempurnakan solatnya. Apabila datang panahan yang ketiga kalinya, maka ia cabut dan menghentikan tilawah kemudian ia ruku' dan membangunkan Ammar sambil sujud. Maka ketika Ammar menanyakan kenapa ia tidak membangunkannya sejak terlemparnya panahan yang pertama kali, ia pun menjawab :
"Sesungguhnya aku ketika itu sedang membaca satu surah dan aku tidak suka menghentikannya sampai aku menyempurnakannya, ketika terus menerus orang itu memanahku aku pun ruku' dan membangunkanmu. Demi Allah, kalau bukan kerana takut menyia-nyiakan perintah Rasulullah saw untuk menjaga perbatasan, tentu aku sudah terbunuh sebelum aku menghentikan bacaan atau menyelesaikannya."

BARAKAH AL-QUR'AN
Sesungguhnya, nilai keagungan Al-Qur'an itu terdapat pada makna-maknanya dan kemampuannya untuk :
  1. Mengadakan perubahan bagi pembacanya.
  2. Merancang kembali cara berfikir akalnya.
  3. Membangkitkan ruh dalam hatinya.
  4. Mendidik jiwanya agar tumbuh menjadi seorang yang alim kepada Allah.
  5. Beribadah kepadaNya dengan ikhlas dan dengan bashirah mata hatinya.
Perkara di atas tidak akan benar-benar berlaku dengan hanya sekadar membaca sahaja, walaupun ia mengkhatamkannya beribu kali.
Ini diperkuatkan oleh para sahabat radhiyallahu anhum apabila dikatakan kepada Sayyidatina Aisyah ra :
“Sesungguhnya di antara orang-orang ada yang mengkhatamkan Al-Qur'an dua atau tiga kali dalam satu malam”, ia pun berkata: “Mereka membacanya tapi sebenarnya mereka tidak membaca, sungguh Rasulullah saw solat tahajjud semalam penuh, beliau membaca surah Al-Baqarah disambung surat Ali Imran dan surah An-Nisa’ tidak melalui satu ayat pun tentang khabar gembira kecuali ia berdoa pada Allah memintanya, dan tidak melalui satu ayat pun tentang ancaman kecuali ia berdoa agar dijauhkan darinya”.
Dari Abi Jasrah ia berkata, aku berkata kepada Ibnu Abbas, “Sesungguhnya aku membaca Al-Qur'an dengan cepat dan aku mengkhatamkannya dalam tiga hari”.
Ibnu Abbas pun berkata:
“Sungguh, membaca surah Al-Baqarah dalam satu malam kemudian aku mentadabburnya dan aku tartilkan bacaannya, lebih aku sukai daripada aku membaca seperti yang kamu katakan.”
Ibnu Mas'ud berwasiat :
“Janganlah kau membaca Al-Qur'an secepat kau membaca sya’ir, atau seperti buah kurma yang berguguran dari tangkainya, berhenti dan renungkanlah keajaiban-keajaibannya, gerakkanlah hatimu dengannya dan janganlah menjadikan akhir surah sebagai pusat perhatianmu."
Pernyataan ini juga dikuatkan oleh Imam Al-Ajri dalam bukunya ‘Akhlaq Hamalatil-Qur'an’ (Akhlaq Penghafal Al-Qur'an) :
“Sedikit mempelajari Al-Qur'an kemudian merenungkannya dan mentadabburnya lebih aku sukai daripada aku membaca banyak tanpa mentadabbur dan mentafakur, dan ayat-ayat Al-Qur'an dengan jelas menunjukkan demikian, begitu juga sunnah dan perkataan para pemimpin umat Islam”.
Imam Mujahid ditanya antara seseorang yang membaca surah Al Baqarah dan Ali Imran dengan seseorang yang membaca Al Baqarah sahaja dengan bacaan yang sama panjangnya, ruku' mereka sama, dan sujud mereka sama, mana antara mereka yang lebih utama?
Imam Mujahid pun berkata :
“(Yang lebih utama) yang membaca Al Baqarah sahaja, kemudian ia membaca :
“Dan Al-Qur'an itu kami turunkan secara beransur-ansur agar kamu membacakannya secara perlahan-lahan kepada manusia.” (QS Al-Isra’ : 106)
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang membaca dan mentadabbur Al-Qur’an sehingga ianya menambah kefahaman, memberi kesan kepada hati dan akhirnya mengubah kehidupan kami ke arah tujuan dan matlamat yang telah Engkau gariskan. Jauhkanlah kami dari sikap membaca secara harfiah semata-mata namun hati kami lalai dari memperhatikan dan merenung makna di sebalik ayat-ayat tersebut.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS