Thursday, January 13, 2011

Nasihat Tonggak Agama

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dari Tamim ad-Dari ra. bahwasanya Nabi saw bersabda :

“Agama itu adalah nasihat. Kita (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasulNya, dan bagi para pemimpin kaum muslimin dan umat Islam.”

Rasulullah saw menjelaskan bahwa Islam dengan segala ajarannya adalah nasihat.

Dalam pengertian umum, perkataan nasihat merupakan sebuah perkataan yang ringkas namun penuh dengan isi, maksudnya ialah segala perkara yang baik.

Dalam bahasa Arab, tiada perkataan lain yang pengertiannya setara dengan kata nasihat.

Jika dikatakan, seseorang memberikan nasihat, maka maknanya adalah dengan sikap yang tulus, seseorang menginginkan kebaikan pada orang yang diberi nasihat.

Dari pengertian itu difahami bahwa orang yang memberi nasihat adalah orang yang menginginkan agar yang dinasihati berada dalam keadaan baik.

Kalimah, “Agama adalah Nasihat” maksudnya nasihat adalah tiang utama dan penyokong kepada pokok agama, sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“Haji adalah Arafah”, maksudnya wukuf di Arafah adalah bahagian yang terpenting dalam ibadah haji.

Adapun Islam sebagai agama nasihat maknanya adalah agama yang menginginkan agar semua pihak dalam keadaan baik, maka diajarkannya sikap yang benar.

Kewujudan nasihat ini mempunyai berbagai variasi sesuai dengan matlamat dan tujuan nasihat, antara lain :

PERTAMA : NASIHAT BAGI ALLAH

Maksudnya :

a.       Beriman kepadaNya dengan benar sesuai dengan petunjuk di dalam Al-Qur’an mahupun As-Sunnah.
b.      Menjauhkan diri dari syirik dan sikap ingkar terhadap sifat-sifatNya.
c.       Memberikan kepada Allah sifat-sifat kesempurnaan dan segala keagungan.
d.      MensucikanNya dari segala sifat kekurangan.
e.       MentaatiNya.
f.       Menjauhkan diri dari perbuatan dosa.
g.      Mencintai dan membenci sesuatu semata-mata keranaNya.
h.      Berjihad menghadapi orang-orang kafir.
i.        Mengakui dan bersyukur atas segala nikmatNya.
j.        Berlaku ikhlas dalam segala urusan.
k.      Mengajak dan menganjurkan orang melakukan segala kebaikan.
l.        Bersikap lemah lembut kepada sesama manusia.

Imam Al Khathabi berkata :

“Secara prinsipnya, sifat-sifat baik tersebut, kebaikannya kembali kepada pelakunya sendiri kerana Allah tidak memerlukan kebaikan dari sesiapapun.”

Berkata Abu ‘Amru bin Ash-Sholah :

”Nasihat kepada Allah adalah mentauhidkanNya, mensifatiNya sesuai dengan sifat-sifatNya yang lengkap dan sempurna, meninggalkan perbuatan maksiat kepadaNya, melaksanakan ketaatan dan kecintaan kepadaNya dengan cara mengikhlashkan ibadah kepada-Nya, cinta dan benci keranaNya.”

KEDUA : NASIHAT BAGI KITABNYA

a.       Bersikap lemah lembut kepada sesama manusia.
b.      Mengagungkannya.
c.       Mencintai dan menghormati Al Qur’an dalam kedudukannya sebagai wahyu Allah.
d.      Mengakui bahwa Al Qur’ an itu tidak sama dengan perkataan manusia dan tidak pula dapat dibandingkan dengan perkataan sesiapapun.
e.       Membacanya.
f.       Mempelajarinya untuk memahami maknanya.
g.      Memikirkan isinya.
h.      Mengamalkan pesanan-pesanannya dengan sekuat tenaga.

Al Qur’an diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia, maka sudah sewajarnya jika ianya  mesti diamalkan.

Firman Allah swt :

“Al Qur’an adala kitab yang Kami turunkan kepadamu, supaya kamu dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya yang terang benderang.”

Imam Al-Khathabi berkata :

“Nasihat kepada kitabNya adalah kita mengimaninya dan melaksanakan apa-apa yang ada padanya.”

Berkata Imam Muhammad Ibn Nashir Al-Mawarzi :

”Sedangkan nasihat kepada kitab Allah adalah dengan mengagungkan dan mencintainya, kerana Al-Qur’an adalah kalamullah. Lalu, memiliki perhatian dan keinginan yang kuat untuk memahaminya, mempelajari dengan berdasarkan rasa cinta kepadanya, serius dan penuh kosentrasi disaat membacanya agar dapat memahami sesuai dengan yang dikehendaki oleh Allah swt. Selanjutnya ia dituntut untuk mengamalkan seluruh isi Al-Qur’an, berakhlak dengan akhlaknya dan beradab dengan adabnya setelah itu ia mesti menyebarluaskannya kepada manusia apa yang telah ia fahami”.

Untuk memahami Al-Qur’an dengan pemahaman yang benar mestilah dengan memahami metod / cara yang benar pula.

Al-Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam muqaddimah kitab tafsirnya menerangkan :

”Sebenar-benar metod tafsir adalah penafsiran Al-Qur’an dengan Al-Qur’an, penafsiran Al-Qur’an dengan As-Sunnah, penafsiran Al-Qur’an dengan perkataan para sahabat dan penafsiran Al-Qur’an dengan perkataan para tabi’in.

KETIGA : NASIHAT BAGI RASULULLAH SAW

Ketika beliau masih hidup, nasihat ini dalam bentuk :

a.       Mengimani beliau.
b.      Mencintainya dengan sepenuh hati.
c.       Membantu perjuangan beliau dengan ikhlas.
d.      Mentaatinya baik dalam keadaan mudah mahupun susah.

Para sahabat telah mempraktikkan tindakan yang mencerminkan sikap nasihat kepada Rasulullah saw sehingga mereka layak menjadi contoh bagi kita dalam sikap ini.

Adapun sepeninggalan beliau saw, nasihat kepada Rasulullah tidak dapat kita lakukan seperti yang dilakukan oleh para sahabat dan oleh kerana itu untuk perkara-perkara yang tidak mungkin dilakukan lagi seperti berjuang bersama Rasulullah saw tentu tidak menjadi tuntutan lagi.

Yang menjadi tuntutan untuk dilakukan adalah :

a.       Mempelajari perilaku kehidupan (sirah) beliau dan juga sunnah-sunnahnya.
b.      Meneladaninya.
c.       Mempercayai kebenaran yang beliau ajarkan.
d.      Menjaga kemurnian sunnahnya.
e.       Mencontohi dan mengikuti akhlaknya yang mulia.

Allah swt berfirman :

"Sungguh pada diri Rasulullah telah ada teladan yang baik bagi kamu, bagi orang-orang yang mengharap (ridha) Allah dan (keuntungan) di hari akhirat dan banyak mengingati Allah.”  (QS Al-Ahzab : 21)

KEEMPAT : NASIHAT KEPADA PARA IMAM (PEMIMPIN)

Berkata Syaikh Muhammad Hayat As-Sindi :

”Yang dimaksudkan para pemimpin muslim adalah para penguasa kaum muslimin. Seorang muslim mestilah menerima, mendengar dan taat kepada para penguasa selama mana yang diperintahkan bukan perkara maksiat kerana tidak boleh taat kepada makhluk dalam hal kemaksiatan terhadap Allah.” 

Berpijak pada penjelasan tentang imam tersebut, maka usaha untuk mewujudkannya adalah dengan :

a.       Mentaati perintahnya yang tidak dalam maksiat kepada Allah.
b.      Membantu perjuangannya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.
c.       Menyampaikan peringatan kepada mereka jika mereka melakukan pelanggaran atau penyimpangan.

Taat adalah hak pemimpin, akan tetapi ketaatan itu hanyalah pada sesuatu yang bukan maksiat kepada Allah dan RasulNya. Jika pemimpin memerintahkan kemaksiatan maka secara automatik perintah itu terbatal dan tidak perlu diikuti. Justeru dengan itu, sebagai bentuk nasihatnya yang paling utama adalah memberi peringatan kepada pemimpin.

KELIMA : NASIHAT KEPADA UMAT ISLAM PADA UMUMNYA

Bagi pemimpin, ia mesti :

a.       Berbuat adil dan amanah.
b.      Memikirkan kesejahteraan umat Islam.
c.       Berusaha sentiasa membimbing mereka ke arah jalan yang benar, jalan ketaatan kepada Allah dan RasulNya.

Sedangkan bagi peribadi mukmin :

a.       Hendaklah memelihara ukhuwwah, kerana pada hakikatnya mereka bersaudara.

Sebagaimana firman Allah swt :

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara maka perbaikilah persaudaraan antara kamu.”  (QS Al-Hujurat :10)

Selain itu ia juga :

b.      Hendaklah saling mengasihi dan menyayangi.

Seperti sabda Rasulullah saw :

 “Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam saling menyayangi, saling mengasihi seperti satu tubuh apabila ada satu anggota tubuh yang sakit maka seluruh anggota akan ikut merasakan kepanasan dan tidak dapat tidur.”

Kemudian ia juga mesti :

c.       Sentiasa memelihara sikap tolong menolong dalam kebaikan dan mencegah terjadinya kemungkaran.

Sebagaimana firman Allah swt :

“Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan jangan tolong menolong dalam dosa dan permusuhan.”

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami mampu melaksanakan tugas nasihat menasihati yang merangkumi seluruh dimensi dalam agama ini kerana kami memahami bahwa Deen ini tidak akan tegak dengan kukuhnya melainkan berlakunya usaha nasihat menasihati yang menjadi tiang dan tonggak utama kepada agama.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

No comments:

Post a Comment