Thursday, January 13, 2011

kualiti seseorang aktivis dakwah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Tarbiyah yang kita lalui sekarang ini seharusnya dapat meningkatkan kualiti seseorang aktivis dakwah.

Kita adalah pelaksana tarbiyah dan dalam masa yang sama kita juga merupakan sebahagian dari objek tarbiyah ummah.

Ukuran kualiti aktivis dakwah menjadi sangat relatif ketika dikaitkan dengan tuntutan orbit dakwah. Di orbit dakwah manapun kita berada, kita sentiasa diharapkan mampu untuk memikul tanggungjawab, samada tanggungjawab dalam masyarakat ataupun tanggungjawab organisasi.

‘Likulli marhalatin rijal’ (Setiap marhalah ada rijalnya)

Kita dituntut untuk melebihi orang biasa kerana kita telah meletakkan diri kita sebagai ‘Unsur Perubah.’

Perubah mestilah mempunyai nilai dan daya tarikan agar orang-orang di sekitarnya dapat :

  1. Dipengaruhi.
  2. Dirubah.

Itulah harapan Rasulullah saw kepada umatnya yang keadaannya ketika ini jauh dari harapan, yang diimpikan iaitu umat yang :

  1. Memiliki nilai akhlak yang tinggi.
  2. Memiliki daya tarikan ke arah kebaikan.
  3. Menjadi arus ke arah perubahan diri manusia.
Umat Islam yang berjumlah besar ini sudah tidak memiliki nilai, daya tarikan dan arus kuat sepertimana sabda Rasulullah saw yang mengibaratkan umat Islam di akhir zaman seperti buih. Keadaan ini disebabkan oleh keperibadian umat Islam yang tidak lagi berkualiti serta terkena penyakit ‘wahn’, iaitu :
  1. Cinta dunia.
  2. Takut mati.
Sepatutnya aktivis dakwah adalah orang-orang yang memiliki nilai tambah.
Semakin tinggi kualitinya, maka nilai positifnya semakin tinggi pula.’
Ini bererti ia akan menambah kuat arusnya terhadap masyarakat sekitarnya yang masih banyak nilai negatif sebagaimana yang kita belajar dari teori aliran elektrik.
Jadi dengan tingginya kualiti aktivis dakwah, mereka diharapkan dapat :
  1. Memberikan pencerahan nilai-nilai Islam.
  2. Menjadi arus Islam yang diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.
  3. Mewarnai kehidupan masyarakat.
KUALITI SAHABAT RASULULLAH SAW
‘Wahai Nabi, Kobarkanlah semangat para mu’min untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (QS Al-Anfal : 65)
Al Qur’an menggambarkan tingginya kualiti sahabat di mana aktivis yang dibentuk oleh Rasulullah saw berjumlah 20 orang sahabat boleh menyamai 200 orang musuh Islam.
Kualiti seperti ini adalah puncak kualiti sahabat yang pernah dilahirkan di zaman Rasulullah saw. Menjadi rahmat Allahlah bahwa kemudiannya Allah meringankan beban dan tanggungjawab umat Islam menjadi dua kali dari kekuatan musuh.
“Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan dia telah mengetahui bahwa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan seizin Allah. dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al-Anfal : 66)

Dengan keringanan ini bererti kualiti piawaian umat Islam adalah dua kali kualiti musuhnya.

Jika perkara ini menjadi acuan kita, maka seharusnya aktivis kita memiliki kualiti dua kali dari orang yang belum terbina dan dengan kerana itulah profil aktivis menjadi acuan kita dalam beramal dan memperbaiki diri dalam proses tarbiyah.

Jika profil tersebut telah kita miliki, maka kita dapat mengatakan bahwa aktivis tersebut adalah aktivis yang berkualiti. Dengan kualiti itu, maka ia dapat melaksanakan tugas dan kewajiban yang dibebankan kepadanya.

Di antara cara yang dapat dilakukan untuk meningkatkan kualiti aktivis dakwah adalah seperti berikut :
PERTAMA : MENINGKATKAN KESEDARAN BAHWA BERADA DALAM JALAN DAKWAH INI ADALAH NIKMAT ALLAH YANG MESTI DISYUKURI
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (QS Al Imran : 103)
Kebersamaan dalam kerja dakwah adalah nikmat Allah yang mesti disyukuri dan ia boleh dilakukan dengan meningkatkan ubudiyah kepadaNya. Kualiti ubudiyah sangat tergantung kepada kualiti iman dan kefahaman.
Jika nikmat ini kita syukuri, maka dari hari ke hari kita akan bertanya dalam diri kita, apakah hari ini lebih baik dari hari sebelumnya atau tidak? Pertanyaan ini boleh menjadi motivasi diri untuk peningkatan.
Itulah yang sentiasa membakar semangat Ali bin Abi Talib yang selalu ingin harinya ini lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Bahkan kita mencatat ucapannya yang masyhur itu bahwa :
  1. Orang yang harinya lebih buruk dari hari sebelumnya termasuk orang yang celaka.
  2. Orang yang harinya sama dengan hari sebelumnya termasuk orang yang rugi.
  3. Orang yang beruntung adalah orang yang harinya ini lebih baik dari sebelumnya.
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “ Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), Maka Sesungguhnya azabKu sangat pedih.” (QS Ibrahim : 7)
Kesyukuran di atas nikmat berada dalam persaudaraan amal ini adalah dengan meningkatkan kefahaman Islam dan menjaganya agar tidak hilang.
KEDUA : MENUMBUHKAN DAN MENINGKATKAN SEMANGAT MENUNTUT ILMU
Ilmu menjadi faktor penting dalam meningkatkan nilai amal perbuatan.
Allah telah menegaskan bahwa tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.
“Apakah kamu (wahai orang musyrik) yang lebih beruntung ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: “ Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (QS Az-Zumar : 9)
Orang yang berilmu adalah orang yang amalnya berkualiti. Ertinya, segala ubudiyahnya diperkuatkan dengan ilmu, pahalanya lebih besar dan lebih bernilai dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu.
Dengan ilmu, amal perbuatan kita mampu terjaga agar tidak terkeluar dari tuntutan Ar Rasul. Kesesuaian amal dengan sunnah Rasul merupakan satu dari dua syarat diterimanya amal ibadah di sisi Allah Taala.
Semakin kita berilmu semakin kita dapat menjaga tingkatan kesesuaiannya dengan tuntutan Rasul dan semakin kita berilmu, kualiti dan nilai amal kita pun akan semakin tinggi di sisi Allah swt.
Bandingkan antara solat orang awam dengan solatnya orang yang berilmu yang memahami semua bacaan dan mentadabur bacaan solat! Pasti tingkatan kekhusu’annya akan juga berbeza.
Orang awam mungkin hanya dapat melaksanakan kewajiban dan berpahala kerana tidak melanggar perintah. Tapi orang yang berilmu, selain ia menunaikan kewajiban, ia juga mendapatkan ketenangan dan kedekatan kepada Allah Taala hasil dari penghayatannya terhadap bacaan solatnya.
Bukankah ini disebabkan oleh ilmu sehingga Imam Hasan Al Banna menjadikan ‘Al Fahmu’ sebagai rukun yang pertama dari rukun-rukun ba’iah yang sepuluh.

Jadi, kualiti aktivis dakwah akan ditentukan oleh salah satunya dengan kualiti ilmunya.

Lebih jauh lagi dalam perbahasan tentang kefahaman atau ilmu ini, Ustaz Musthafa Masyhur menegaskan bahwa penyimpangan dan kesalahan akibat kesilapan kefahaman dan kecetekan ilmu seseorang aktivis dakwah akan menyebabkan penyimpangan dalam gerakan dakwah yang sangat parah dibandingkan dengan kesalahan teknikal semata-mata yang dilakukan oleh aktivis dakwah akibat kelalaian atau kelemahan koordinasi dan kerjasama di medan.
KETIGA : BERTEMAN DENGAN ORANG-ORANG YANG SOLEH
Agama seseorang sangat dipengaruhi oleh lingkungan pergaulannya.
Rasulullah saw menegaskan kepada kita bahwa jika kita ingin mengetahui kualiti keagamaan seseorang, maka lihatlah siapa yang bergaul bersamanya.
Jika teman-temannya adalah orang yang baik, maka dipastikan bahwa ia juga baik, tetapi jika didapati teman pergaulannya adalah orang yang tidak baik, maka kemungkinan besar dia juga tidak baik.
Ketika orbit dakwah membesar dan bertambah luas cakupannya, maka lingkungan pergaulan aktivis dakwah semakin terbuka dan luas. Hasil dari keterbukaan pergaulan ini, sedikit banyak ianya akan mempengaruhi ‘daya lindung’ aktivis.
Melihat perkembangan ini, peningkatan kualiti aktivis dakwah menjadi sesuatu yang sangat penting. Dalam keadaan ini, sebaiknya seseorang aktivis dakwah perlu meningkatkan jalinan silaturahim dengan aktivis dakwah lainnya secara berkala disebabkan mungkin kerana kesibukan kerja dan tugas dakwah menjadikan mereka jarang bertemu dan bersilaturahim.
Itulah yang dilakukan oleh Abdullah bin Rawahah ra ketika mengajak Abu Darda’ ra serta berkata :
“Ta’ala nu’min assaa’ah” (Marilah kita beriman (perbaharui keimanan) sebentar).
Begitu juga sebelumnya, Mu’az bin Jabal ra berkata kepada saudaranya sambil memberi nasihat.
“ Duduklah sebentar, mari kita beriman (perbaharui keimanan)”.
Ya Allah, permudahkanlah urusan kami sehingga kami mampu mempertingkatakan kualiti akhlak, daya tarikan serta menjadi arus kuat yang akan memberi pengaruh kepada manusia-manusia lain di sekeliling kami. Perkuatkanlah ia dengan rasa syukur kepadaMu, peningkatan ilmu dan kefahaman serta pergaulan yang baik dengan orang-orang soleh pilihanMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

No comments:

Post a Comment