Thursday, December 16, 2010

Mewujudkan Kesegaran Bergerak

Kehidupan kita sebenarnya sangat mirip dengan sebuah pergerakan dan begitu pula kematian yang mirip dengan suasana diam.
Oleh kerana itu :
1.      Bergerak.
2.      Beraktiviti.
3.      Melakukan berbagai eksperimen.
4.      Berkreativiti.
5.      Berinovasi.
dan sebagainya merupakan keadaan yang mutlak dalam hidup.
Tanpanya, kehidupan bukan sahaja tidak bermakna, bahkan mungkin boleh membawa bencana.
Bagaimanakah kita boleh menumbuhkan kesegaran gerakan dalam hidup kita?
Perhatikan beberapa langkah berikut yang mungkin boleh dijadikan rujukan untuk mewujudkannya :
PERTAMA : RENUNGI MAKNA HIDUP KITA MASING-MASING.

Kehidupan ini bergerak berterusan dan bersifat dinamik.

Ia boleh diibaratkan seperti pergerakan angin yang meliuk-lentuk di bawah suatu lembah lalu meninggi ke atas bukit. Oleh kerana itu, ada orang yang mengatakan bahwa percubaan untuk memberi makna kepada kehidupan adalah sama dengan percubaan untuk memahami angin yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar pada satu titik perjalanan angin tersebut.

Sukarnya memberi makna kepada kehidupan kerana sifat dinamik dan gerakan yang berlangsung pada kehidupan itu sendiri di mana setiap orang tentu akan berbeza-beza dalam memberikan makna hidupnya sesuai dengan perjalanan dan arah hidup yang dia lalui.

Tuntunan Allah swt dalam Al Qur‘an dan petunjuk Rasulullah saw mengajarkan kepada kita bahwa :

1.      Hidup adalah ibadah.
2.      Hidup adalah ladang amal.
3.      Hidup adalah medan perjuangan.

Namun, semua orang akan mempunyai lorong sendiri dalam hidupnya di mana mereka yang akan menempuh jalan dan alur yang telah diciptakan Allah swt untuknya.

Islam mengarahkan kita untuk merenungi dan memahami kehidupan melalui :

a.       Tafakur.
b.      Zikir.

Bahan tafakur setiap orang masing-masing berbeza antara satu sama lain.

Setiap orang akan mengisi tafakurnya sesuai dengan garis kehidupan yang ia lalui dan ke mana rancangan serta harapan hidupnya untuk masa depan. Di sanalah akan muncul semangat untuk terus bergerak dengan penuh dinamik.

Usaha-usaha memberi makna kepada kehidupan melalui tafakur dan zikir akan menyedarkan seseorang tentang berbagai amal dan tugas yang mesti dilakukan dalam hidup.

Di sinilah seseorang akan terdorong untuk :

a.       Terus bergerak.
b.      Menilai langkah.
c.       Meluruskan sikap.
d.      Mengatasi rintangan.
e.       Berwaspada terhadap segala ancaman yang menghalanginya dari memperolehi hidup yang bermakna.

KEDUA : HARGAI APA YANG KITA LAKUKAN.

Adakah kita pernah merasa hampa ketika bangun di pagi hari?

Merasa bahwa dalam fikiran, kita mesti melalui aktiviti yang rutin seperti berikut :

Senario 1 – Pekerja pejabat
Ke pejabat, bertemu orang atasan, bertemu pelanggan, berbual-bual dengan rakan-rakan sepejabat, kemudian pulang ke rumah.

Senario 2 - Mahasiswa
Ke kampus, bertemu rakan-rakan, berbual-bual, duduk di kelas mendengarkan pensyarah, membuat aktiviti praktikal, kemudian pulang ke rumah.

Senario 3 – Suri Rumahtangga
Memasak, mengurus anak, mengurus rumah, menunggu suami pulang. Dalam keadaan seperti itu kita merasa setiap hari jarum jam bergerak begitu lambat.

Perasaan bosan, tepu dan statik benar-benar menghantui fikiran serta tidak mengenakkan, namun ‘virus’ kehidupan itu boleh menyebar di mana sahaja dan menghinggapi sesiapa pun tanpa pilih bulu.

Dalam teori psikologi, kebosanan atau merasa statik dalam hidup salah satunya disebabkan kerana seseorang tidak begitu menghargai apa yang ia lakukan.

Seorang ahli psikologi terkenal pernah mengatakan bahwa sesuatu yang bergerak menunjukkan adanya sifat dinamik dan sifat dinamik sentiasa diiringi dengan :

a.       Usaha.
b.      Kreativiti.
c.       Perkembangan.

yang semuanya mencerminkan kehidupan.

Pada dasarnya, seseorang yang merasa bosan dan tidak menikmati kehidupan adalah orang-orang yang tidak menghargai apa yang ia lakukan dan apa yang melingkari hidupnya.

Perasaan bosan muncul kerana seseorang kurang menghargai sifat dinamik sesuatu amal dan aktiviti yang dilakukannya.

Tentu banyak faktor yang melatari keadaan ini, tapi merasa bahwa pekerjaan kita tidak berharga, hanya sebagai sesuatu yang rutin akan menjadikan kita sendiri malas untuk bergerak.

KETIGA : MEMASANG ‘SASARAN’ DALAM HIDUP.

Samada matlamat jangka pendek mahupun jangka panjang, hidup ini mempunyai tujuan.

Itu sebabnya Al Qur‘an banyak mengulas akan fenomena keakhiratan agar setiap manusia memiliki sasaran dan matlamat hidup yang benar dan jelas.

a.       Penyesalan dan kekecewaan terhadap masa lalu.
b.      Ketidakpercayaan terhadap masa sekarang.
c.       Ketakutan pada masa depan.

Semua fenomena di atas adalah ‘virus’ yang menghalangi seseorang untuk tetap bergerak dan bersikap dinamik dalam hidup.

‘Virus’ itulah yang dimatikan dengan petunjuk Allah swt bahwa sasaran dan matlamat jangka panjang seseorang mukmin adalah akhirat.

Seorang penulis mengatakan :

“Ramai orang menjadi tidak berupaya menghadapi hidup ini lantaran ia tidak merancang untuk meletakkan ‘sasaran’. Sasaran bukanlah sesuatu yang semestinya hebat serta tidak terjangkau. Begitu pula, ia bukanlah ‘hantu’ yang menakutkan yang membayangi hidup seseorang.” 

Dalam skop ‘sasaran’ hidup yang lebih pendek :

1.      Seorang suri rumahtangga boleh sahaja membuat ‘sasaran’ misalnya berusaha merancang kewangan keluarga hingga ke tahap yang diharapkan.

2.      Seorang suami yang bekerja sebagai karyawan boleh menentukan ‘sasaran’ misalnya membuat halaman khusus di sebelah rumah yang selama ini hanya jadi ruang kosong untuk diubah menjadi taman bunga yang segar dalam waktu tiga atau empat bulan.

Satu perkara yang perlu diingati ialah tidak ada ‘sasaran’ yang tidak diimbangi dengan :

a.       Kemahuan.
b.      Kreativiti.

Kuncinya memang ada pada dua perkataan tersebut.

Rasa bosan, tepu, keengganan untuk bergerak serta rasa takut terhadap risiko mestilah dineutralisasikan dengan kemahuan dan kreativiti kita sendiri.

Jadikan aktiviti kita berharga dengan sikap dinamik yang kita ciptakan sendiri melalui perancangan dan penentuan ‘sasaran’.

KEEMPAT : MILIKI ASAS KOMUNITI.

Dalam teori komunikasi massa, asas komuniti adalah realiti hidup yang terdiri dari individu-individu yang saling mengenali dan berinteraksi di suatu wilayah untuk mewujudkan cita-cita bersama.

Dalam Islam, komuniti seperti ini biasa disebut dengan jamaah atau organisasi Islam di mana kaum muslimin hidup dalam suasana kebersamaan dan persaudaraan untuk mencapai tujuan-tujuan dakwah samada pada skala peribadi ataupun masyarakat Islam.

Para sahabat dahulu hidup dalam suasana berjamaah yang patut dijadikan contoh di mana para anggotanya sama-sama membangun penghayatan untuk menegakkan Islam secara peribadi mahupun sosial.
Jamaah di mana anggotanya saling pimpin-memimpin, bimbing-membimbing antara satu sama lain dalam suasana ukhuwah dan kasih sayang sejati kerana Allah swt.

Interaksi intensif yang mereka lakukan dalam menjalani tujuan-tujuan hidup menumbuhkan rasa kedekatan antara mereka dan itulah yang menjadikan hidup mereka penuh dinamik, bergerak dan tidak statik.

Apakah manfaat lain hasil dari memiliki asas komuniti atau hidup berjamaah ini?

Sebuah jamaah akan menjadikan setiap anggota di dalamnya jauh dari :

a.       Sifat putus asa.
b.      Rasa kegelisahan.
c.       Kekecewaan.

dalam menjalani berbagai misi hidup.

Semua yang membaca sejarah mengetahui bagaimana kuatnya tekanan dan sukarnya fasa perjuangan Rasul dan para sahabat, namun mereka berjaya melalui semua keadaan tersebut.

KELIMA : MENGINGATI BAHWA SELURUH UNSUR KEHIDUPAN INI BERGERAK CEPAT.

Ketidakmampuan kita untuk mengiringi gerakan kehidupan akan menimbulkan kesulitan bagi kita sendiri untuk menjalani hidup dan bahkan boleh membuatkan kita terhenti.

Seorang pakar motivasi dan pengurusan menjelaskan bahwa ‘kematian’ itu ada pada kacamata tetap yang digunakan untuk melihat sesuatu yang bergerak cepat.

Ini boleh diilustrasikan sebagai berikut :

“Persis sepertimana kita mengamati keadaan air terjun di mana foto tentang air terjun tetap hanya mewakili wajah air terjun pada detik ketika gambarnya diambil. Sementara air terjun sebenarnya berubah dan berganti setiap detik. Hanya jasad yang mati yang berani menyebut bahwa gambar air terjun mewakili seluruh bentuk dan sifat air terjun.”

Lihat dan perhatikan semua pergerakan yang ada di alam raya ini.

1.      Galaksi bergerak cepat dalam ‘superkluster’
2.      Bintang-bintang bergerak laju mengelilingi galaksi.
3.      Planet-planet mengorbit bintang.
4.      Satelit-satelit berputar mengelilingi planet.

Dalam skala mikro :

1.      Molekul-molekul bergerak dengan begitu lincah.
2.      Elektron mengorbit inti atom dengan gerakan yang tidak dapat ditangkap oleh pengamatan kita.

Pada tingkatan yang lebih kecil, kita akan terasa hairan untuk memahami bahwa benda-benda sebenarnya hanya suatu kewujudan lain dari tenaga yang bergetar sehingga pada tingkatan yang lebih kecil lagi, para ilmuwan mulai menyusun teori bahwa seluruh benda dan tenaga adalah bentuk-bentuk ‘multi-dimensi’ sangat kecil yang bergetar dan terus bergetar.

Karakteristik getaran itulah yang menentukan identiti kewujudannya samada ia akan menjadi benda atau tenaga.

Umur alam semesta yang fana ini adalah ditentukan sepanjang masa bergetarnya unsur-unsur yang bergetar itu dalam perspektif mana pun kita memandangnya.

Ketika ini, semuanya masih bergetar dengan begitu dinamik dan masih ada waktu bagi kita untuk melaksanakan tugas-tugas kita.

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila seluruh alam semesta bergerak memenuhi tugas yang dibebankan, namun kita justeru berdiam diri.

Tidak ada alasan logik apapun yang boleh menerima sikap diam di tengah-tengah dunia yang bergerak ini.

Keengganan untuk bergerak dengan alasan apapun hanya akan memunculkan keadaan yang lebih berat daripada kesalahan yang muncul akibat risiko yang pasti ada dalam bergerak.

Ya Allah, kuatkanlah semangat dan keyakinan kami serta ringankanlah jasad kami untuk kami keluar bergerak melakukan amal-amal yang akan memberi pulangan yang besar kepada kami di akhirat nanti. Jauhkanlah perasaan bosan, tepu dan statik dalam hati kami yang akan memusnahkan azam dan tekad kami dalam melaksanakan amal dan kewajiban yang ditaklifkan kepada kami.

Ameen Ya Rabbal Almeen
WAS 

No comments:

Post a Comment