Sunday, December 19, 2010

Sesuatu yang sentiasa hangat dan ada dalam fikiran kita

Secara bahasa himmah’ biasa diberi pengertian sebagai cita-cita. Namun bila kita selami dan dalami maknanya yang sebenar, ia bererti :

‘Sesuatu yang sentiasa hangat dan ada dalam fikiran kita’.

Pada siang hari, ia sentiasa difikirkan manakala pada malam hari, ia terus diimpikan.

‘Himmah’ terus wujud dan menyatu dengan jiwa.

a.       Ke manapun kita pergi, ia sentiasa di bawa.
b.      Di manapun kita berdiam, ia tidak akan hilang.

Ia terus mewarnai setiap langkah dan gerakan kita di mana dalam istilah 'sufi' nya :

‘Himmah sentiasa muncul dalam setiap diam dan gerak kita.’

‘Himmah’ juga mempunyai hubungkait dengan perkataan hamm’ yang bentuk jamaknya adalah humum’ yang secara mudah biasa diterjemahkan sebagai ‘kesedihan’.

Memang demikian ertinya iaitu :

Apabila seseorang yang mempunyai himmah’ terhadap sesuatu, ia akan terus merasa sedih dan tidak akan (bahkan tidak mahu) mengecapi sedikitpun kebahagiaan jika apa yang menjadi himmah’ nya itu belum kesampaian dan puncak kebahagiaannya adalah ketika ia berhasil mewujudkan apa yang menjadi himmah’ nya itu.

Jika dakwah boleh kita definasikan sebagai :

‘Usaha untuk mempengaruhi dan mengajak mad’u ke jalan Allah swt, jalan Islam, jalan Nabi Muhammad saw.’

Maka,

‘Himmah’ seorang pendakwah boleh kita ertikan sebagai :

Kesedihan pendakwah tersebut dan ke-"tidak-mahuannya" untuk mengecapi sedikitpun kebahagiaan jika belum berhasil membawa seorang manusiapun kepada jalan hidayah, jalan Allah swt, jalan para Nabi, shiddiiqin, syuhada’ dan solehin.’

Ia hanya akan merasa puas, bahagia dan gembira apabila telah berhasil menjadi penyebab mendapat hidayahnya seorang manusia untuk memeluk Islam, hidup dengannya dan mati dengan tetap menyandang kedudukannya sebagai seorang muslim.

Namun, sebagai seorang muslim yang menyedari peranannya sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, di mana salah satu karakternya adalah menyeru kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah daripada perkara mungkar, ‘himmah’ pendakwah itu tidak akan berhenti sehingga ia telah berjaya menjadi penyebab kepada seseorang itu mendapat hidayah dari Allah swt.

‘Himmah’ itu akan kembali muncul dalam dirinya dan akan terus muncul sehingga ia kembali kepada Allah swt.

‘Himmah’ seperti ini telah digambarkan oleh beberapa kisah yang ada di dalam Al Qur’an.

KISAH PERTAMA

Kisah burung Hud-Hud di zaman Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam.

Al Qur’an menceritakan bahwa burung yang kecil itu yang sebenarnya tidak mampu terbang jauh, telah melakukan perjalanan yang sangat jauh, dari Palestin (Negeri Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam) ke negeri Saba’  di Yaman (Negeri Ratu Balqis).

Ia telah melalui hamparan padang pasir yang sangat luas yang tidak mungkin berani melampauinya kecuali pemilik himmah’ yang tinggi. Jangankan seekor burung Hud-Hud, manusia sahaja akan berfikir dua kali untuk mengharunginya.

Bukankah yang akan dilaluinya adalah padang pasir yang sangat panas, hanya ada sedikit air dan makanan serta kekerasan-kekerasan alam yang lainnya. Namun dengan semangat waja, si burung kecil itu melakukan perjalanan sejauh itu dengan satu tujuan iaitu :

Memberi informasi kepada Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam tentang negeri-negeri lain, yang boleh jadi, ia akan menjadi penyebab berimannya penduduk negeri itu.

Oleh kerana jaraknya yang sangat jauh dan tentunya memerlukan waktu yang lama untuk menempuhnya, maka burung Hud-Hud itu menghilangkan diri dan tidak menghadiri majlis Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam dalam waktu yang cukup lama.

Oleh kerana tidak muncul terlalu lama, kehilangannya itu menjadi tanda tanya kepada Nabi Sulaiman ‘alaihis-salam.

Singkat cerita, akhirnya si burung kecil itu muncul juga dan menyampaikan informasi yang diperolehinya.
Untuk membuktikan kebenaran informasinya, burung Hud-Hud itu mesti terbang ke negeri itu sekali lagi.

Sungguh ini suatu himmah’ yang luar biasa dan tidak sia-sia di mana penduduk negeri Saba’ itu akhirnya tunduk kepada Nabi Sulaiman dan meninggalkan kemusyrikan mereka.

Kisah secara lengkapnya boleh kita perolehi dalam surah An Naml dari ayat 16 hingga ayat 44.

KISAH KEDUA

Ada lagi cerita lain yang tidak kalah menariknya iaitu kisah seorang lelaki yang tidak dikenali di mana dalam bahasa Al Qur’annya disebut Rajulun’ yang datang dari wilayah kota yang paling hujung atau paling jauh yang datang dengan berlari demi memberikan pembelaan kepada rasul-rasul Allah swt.

Disebabkan oleh pembelaannya itu, ia dibunuh oleh kaumnya. Di alam akhiratnya, ia merasakan betapa besar kenikmatan yang didapatinya dari Allah swt. Lelaki yang dibunuh oleh kaumnya ini masih mengingati kaumnya, bukan dalam rangka dendam, akan tetapi  ungkapan empatinya yang sangat mendalam kepada kaumnya, namun sayang, kaumnya tidak mengetahuinya.

Subhanallah, sudah meninggal dunia dan sudah berada di alam lain, himmah’ nya sebagai pendakwah tidak pernah padam sehingga meluncurlah kata-kata dari lisannya :

“ Dikatakan (kepadanya): "Masuklah ke syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui. Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi ampun kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan". (QS Yaasin : 26 – 27)

KISAH KETIGA

Dari sirah Rasulullah saw, kita juga dapat melihat betapa himmah’ beliau untuk menyelamatkan manusia dari azab neraka begitu tinggi.

Tersebut dalam kitab-kitab sunnah bahwa Rasulullah saw mempunyai seorang jiran Yahudi. Si Yahudi ini mempunyai seorang anak yang kecil. Sebagaimana kebiasaan bagi seorang anak kecil, anak Yahudi ini bermain dekat dengan rumah Rasulullah saw.

Suatu ketika, Rasulullah saw tidak melihat anak Yahudi itu bermain. Maka beliau saw mencari informasi apa yang terjadi kepada anak Yahudi itu. Akhirnya beliau mengetahui bahwa anak Yahudi itu sedang sakit kuat dan mendekati sakaratul maut.

Maka segeralah Rasulullah saw bersama beberapa sahabat bergegas ke rumah Yahudi itu dengan raut muka yang sangat sedih, bercampur tegang dan cemas. Sesampainya beliau di rumah Yahudi itu dan setelah mendapatkan izin untuk masuk, beliau terus duduk di atas kepala anak Yahudi itu.

Dengan wajah yang masih menampakkan kesedihan, ketegangan dan kecemasan, beliau men-‘talqin’ kan anak Yahudi itu agar mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Mendengarkan talqin’ yang dibaca seperti itu, si anak itu melihat kepada bapanya sebagai isyarat untuk meminta pendapat si ayah yang beragama Yahudi itu.

Barangkali si ayah yang beragama Yahudi itu berfikir dalam benaknya :

a.       Apa gerangannya Muhammad (saw) begitu sibuk dengan talqin’ ini?
b.      Bukankah sebentar lagi anak saya akan mati?
c.       Adakah Muhammad (saw) ingin agar anak saya menjadi pengikut dan memperbanyakkan jumlah pengikutnya?

Barangkali itulah beberapa pertanyaan yang berlegar di dalam fikiran si Yahudi itu.

Yang jelasnya, si ayah yang beragama Yahudi itu kemudiannya berkata :

"Athi’ Abal Qasim” (Taatilah Muhammad saw yang biasa dipanggil Abal Qasim).
Si anak Yahudi itupun akhirnya mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak lama kemudiannya meninggal dunia.

Oleh kerana telah berhasil menyelamatkan anak Yahudi itu dari ancaman neraka, Rasulullah saw pun berasa sangat gembira dan kegembiraan baginda itu dapat dilihat pada perubahan wajah beliau saw dan pada ucapannya :

‘Alhamdulillahil-ladzi anqadzahu minan-naar ‘(Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari neraka).

Sesungguhnya majoriti masyarakat kita adalah masyarakat muslim, dan di antara mereka ada yang memerlukan :

a.       Peringatan.
b.      Nasihat.
c.       Pengukuhan.

Untuk melaksanakan tugas-tugas ini, sangat-sangat diperlukan orang-orang yang memiliki himmah yang sangat tinggi.

Oleh yang demikian, asahlah himmah’ kita kerana barangkali akan ada satu dua orang yang akan mendapat hidayah kepada jalan Islam iaitu jalan Allah swt menerusi kita dan kitapun akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah swt di akhirat nanti insyaAllah.

Ya Allah, jadikanlah kerisauan terhadap dakwah merupakan keutamaan kami sehingga ia mengatasi segala kerisauan-kerisauan yang lain dalam hidup kami. Kurniakanlah kekuatan iman dan keyakinan kepada kami supaya kami dapat meneruskan usaha-usaha yang akan menjadi asbab kepada hidayah dan pertolongan dariMu kepada manusia-manusia yang memerlukannya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

No comments:

Post a Comment